KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mewujudkan pusat memudah cara pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang bersifat sebagai pusat sehenti bagi hal-hal berkaitan pelaburan di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata IMFC bertujuan memudah cara urusan komuniti perniagaan dan para pelabur dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan yang terpilih.

Beliau berkata penubuhan secara fizikal adalah untuk mempercepat pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.

"Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA dan selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keputusan Majlis Jemaah Menteri pada 3 November dan aspirasi Ekonomi MADANI untuk memudah cara perniagaan khususnya 'investor's journey' di pelbagai peringkat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata IMFC juga bertujuan mengumpulkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung dan usaha itu adalah langkah penting dalam mendukung hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Tengku Zafrul berkata inisiatif itu mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mesra pelabur dan mesra perniagaan yang terunggul di rantau ini berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional.

Beliau berkata berdasarkan keadaan semasa, perkhidmatan rundingan serta memudah cara yang dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka akan memberi impak positif selain meningkatkan keyakinan pelabur dan peserta industri.

"MITI dan MIDA mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan bagi menyediakan perkhidmatan yang efektif dan efisien kepada para pelabur dan komuniti perniagaan dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan terpilih di Malaysia.

"MITI juga komited untuk menambah baik kemudahan sedia ada di bawah MIDA dalam usaha untuk memudah cara pelaburan," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan IMFC akan dijayakan berdasarkan konsep seluruh kerajaan (whole-of-government) dan akan disokong secara langsung oleh beberapa kementerian dan agensi yang berkepentingan, seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

Turut serta memberikan sokongan ialah Jabatan Tenaga Kerja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, syarikat telekomunikasi, Tenaga Nasional Bhd serta lain-lain kementerian dan agensi tertakluk kepada keperluan semasa, katanya.

Tengku Zafrul berkata antara inisitiatif sedia ada di bawah MIDA adalah penubuhan Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) pada 2020.

TRACK adalah platform pemudah cara bagi kesemua projek pelaburan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) dalam memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan, katanya.

"Melalui inisiatif sedia ada TRACK dan IMFC secara fizikal, MITI yakin Malaysia akan kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih untuk syarikat global dunia.

"Ia juga menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi kepada rakyat, seterusnya menerajui dan merancakkan pembangunan ekonomi, serta kemakmuran negara," katanya.

Sejak penubuhan TRACK, kadar peratusan pelaksanaan projek yang diluluskan telah meningkat melebihi 80 peratus, bagi tempoh Januari 2016 hingga Jun tahun ini.

-- BERNAMA