KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service (Moody's) mengekalkan unjuran stabilnya ke atas sejumlah 13 sistem perbankan Asia Pasifik (APAC), termasuk Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, agensi penarafan berkata sistem perbankan Malaysia kekal stabil berikutan terutamanya pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta metrik kredit memberangsangkan merentasi sistem terbabit.

"Biarpun kelemahan eksport akan memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, kekukuhan permintaan domestik akan memberi sokongan apabila keadaan pasaran kerja bertambah baik manakala inflasi kekal rendah berbanding negara serantau.

"Selain itu, penampan kerugian pinjaman bank yang memadai serta langkah penangguhan berterusan pula dapat mengurangkan risiko aset daripada kalangan peminjam yang lemah," katanya.

Pada masa sama, Moody's berkata margin faedah bersih yang stabil serta peruntukan kerugian pinjaman, akan turut membantu mengekalkan keuntungan sebelum cukai bank secara meluas dan ketiadaan cukai makmur dapat merangsang keuntungan pada 2023.

Aspek permodalan dan mudah tunai juga kekal kukuh ketika pertumbuhan kredit menyederhana susulan jangkaan kenaikan kadar faedah seterusnya bagi tahun ini.

"Kami mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebenar Malaysia menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2023 daripada 8.7 peratus pada 2022 susulan kelemahan permintaan eksport dengan sebahagiannya diimbangi oleh kekukuhan permintaan domestik dalam keadaan peningkatan persekitaran berkaitan tenaga kerja.

"Pertumbuhan kredit secara meluas dijangka menyederhana kepada kira-kira lima peratus tahun ini daripada 5.5 peratus pada 2022 berikutan kadar faedah tinggi akan menjejaskan permintaan kredit.

"Malah, kami turut menjangkakan kenaikan kadar dasar seterusnya pada tahun ini susulan keadaan inflasi yang kekal tinggi berbanding sebelum pandemik," katanya.

Moody's berkata kualiti aset bank akan turut stabil susulan kenaikan kadar faedah pada 2022 meningkatkan hutang peminjam dengan kumpulan individu berpendapatan rendah paling terdedah.

Selain itu, tawaran berlebihan dalam pasaran hartanah akan terus memberi tekanan terhadap kapasiti pembayaran semula oleh syarikat pemaju dan pembinaan, katanya.

Kualiti aset pinjaman ke atas sektor hartanah dan pembinaan telah susut sejak dua tahun lepas (namun) program bantuan pembayaran balik bank akan membantu mengehadkan risiko aset manakala rizab kerugian pinjaman yang kukuh berperanan sebagai penampan kerugian pinjaman di masa depan, katanya.

Menurut Moody's, rizab purata wajaran kerugian pinjaman aset sebagai peratusan pinjaman terjejas kasar bagi bank-bank yang dinilainya turun kepada 156 peratus pada akhir September 2022 daripada 163 peratus pada akhir 2021, namun masih melebihi paras pra-pandemik.

Agensi penarafan itu turut mengunjurkan bank-bank Malaysia kekal kukuh dari segi pendanaan dan mudah tunai, disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang membolehkan bank-bank mengurangkan penggunaan dana pasaran masing-masing.

"Biarpun deposit akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) berkurangan apabila pendeposit beralih kepada deposit dengan tempoh yang lebih tinggi, kami menjangkakan deposit CASA kekal melebihi paras sebelum pandemik.

"Nisbah liputan mudah tunai sistem kekal stabil pada 147 peratus di akhir November 2022 walaupun turun daripada 153 peratus pada akhir 2021," katanya.

Sementra itu, Moody's berkata unjuran 13 sistem perbankan APAC itu adalah kukuh berbanding 15 pada tahun lepas.

Ia juga telah menyemak semula sistem perbankan Bangladesh daripada negatif kepada stabil, mengekalkan prospek negatif ke atas sistem di China, menukar unjuran Vietnam dari positif kepada stabil manakala sistem perbankan di Pakistan daripada stabil kepada negatif bagi Januari 2023.

-- BERNAMA