KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd, menyertai Gobi Partners bagi pelaburan bersama bernilai RM5 juta dalam Pitch Platforms Sdn Bhd (pitchIN).

Platform pendanaan awam ekuiti pitchIN merupakan pengendali pasaran berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti yang mana sehingga kini telah membiayai sebanyak 154 tawaran, tertinggi antara semua platform pendanaan awam ekuiti di Malaysia.

MTDC berkata, pihaknya sedang melabur bersama syarikat itu melalui Dana Pertumbuhan Perniagaan MTDC dan Dana Superspeed II Gobi.

“Dana ini akan terus membantu syarikat mengembangkan tawaran platform pendanaan awam ekuiti, melancarkan penawaran pertukaran permulaan (IEO) dan platform pasaran sekunder dalam negara serta memulakan usaha sama yang serupa di peringkat serantau.

“Menerusi pelaburan tambahan dalam pitchIN ini, ia mampu memudahkan lagi pengumpulan dana untuk syarikat berasaskan teknologi tempatan melalui platform sumber khalayak dalam talian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Program MTDC-pitchIN membolehkan MTDC menyertai pelaburan pendanaan awam ekuiti sehingga 30 peratus dalam prospek syarikat yang layak bagi setiap kempen.

MTDC sebelum ini pernah memeterai memorandum persefahaman dengan Pitch Platforms pada tahun 2020 untuk bekerjasama dalam bidang pendanaan awam ekuiti.

PitchIN telah mengumpulkan lebih RM280 juta setakat ini, dengan lebih 7,600 pelaburan dibuat ke dalam syarikat Malaysia yang berkembang pesat.

MTDC juga turut menyediakan perkhidmatan sokongan bersepadu untuk syarikat yang dibiayai termasuk Pengurusan Pusat Teknologi, Akademi Latihan Usahawan Tekno (TENTRA), Pusat 9 Pillars (Co9P) dan khidmat nasihat seperti bimbingan, penjenamaan, pengumpulan dana kerjasama antarabangsa serta rangkaian.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan, pelaburan bersama Gobi Partners tersebut akan menyokong syarikat teknologi tempatan yang berkembang pesat berpotensi untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Melalui pelaburan bersama ini, syarikat bakal menerima manfaat daripada rangkaian perniagaan meluas dan hubungan daripada kedua-dua pihak, ia sekali gus akan mempercepat serta meningkatkan lagi pengembangan syarikat pada masa hadapan.

"Kami menyokong dan percaya bahawa pelaburan bersama ini akan memberi manfaat kepada pemain teknologi tempatan kerana keupayaan mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan perniagaan berikutan pandemik baru-baru ini… adalah satu lagi sebab untuk perkongsian berterusan kami dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, rakan kongsi pengurusan Gobi (Malaysia), Jamaludin Bujang berkata, kerjasama pelaburan bersama itu akan membolehkan usahawan terutamanya syarikat pemula (start up) dan perusahaan kecil dan sederhana menerima pembiayaan tambahan, terutamanya dalam landskap ekonomi mencabar ketika ini.

“Dengan pelancaran platform Pasaran Sekunder Syarikat serta IEO tahun ini, ia merupakan titik perubahan penting mengenai peningkatan populariti pendanaan awam ekuiti di Malaysia dan itulah sebab mengapa Gobi dan MTDC akan melabur dalam platform pendanaan awam ekuiti terbaik di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, CEO Pitch Platform Sam Shafie berkata MTDC dan Gobi Partners membawa pengalaman serta jangkauan pasaran dan syarikat yakin pelaburan mereka akan membawa kepada lebih banyak pertumbuhan di pitchIN.

"Kami berterima kasih kepada mereka kerana keyakinan mereka terhadap visi kami dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka semasa kami melancarkan perkhidmatan akan datang dan pengembangan yang dirancang," jelasnya.