KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah baharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) telah melancarkan laluan baharu menghubungkan Tawau dan Kota Kinabalu (KK) di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Rayner Teo berkata pelancaran laluan itu adalah sebahagian daripada pelan pengembangan domestik mereka dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan KK-Tawau dan Tawau-KK pada setiap hari.

"Laluan ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelancong selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Sabah.

"Kami berharap dapat memberi perkhidmatan kepada penumpang pada tahap perkhidmatan tertinggi dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar yang terbukti menerusi prestasi menepati masa MYAirline," katanya dalam satu kenyataan semalam.

MYAirline berkata laluan udara baharu itu akan mengurangkan masa perjalanan kepada satu jam berbanding hampir lapan jam melalui jalan darat.

Syarikat penerbangan tersebut menawarkan tambang promosi istimewa antara Kota Kinabalu dan Tawau untuk meraikan pelancaran laluan udara baharu berkenaan melalui laman web dan aplikasinya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.myairline.my atau akaun media sosial mereka @flymyairline di LinkedIn, Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan YouTube.

-- BERNAMA