MyEG dapat kebenaran KKM guna Brefence Go untuk ujian saringan alternatif COVID-19

Bernama
Disember 10, 2021 00:00 MYT
MyEG mendapat lampu hijau daripada KKM untuk menggunakan Sistem Ujian Pernafasan COVID-19 Breathonix BreFence Go.
KUALA LUMPUR: MY E.G. Services Bhd (MyEG) mendapat lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggunakan Sistem Ujian Pernafasan COVID-19 Breathonix BreFence Go (BreFence Go) sebagai kaedah ujian saringan alternatif COVID-19 di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang antarabangsa.
Syarikat itu berkata anak syarikatnya MYEG Medical Services Sdn Bhd telah menerima surat daripada KKM bertarikh 8 Dis, 2021, yang membenarkan penggunaan BreFence Go, mengikut dasar dan garis panduan kerajaan.
"BreFence Go akan digunakan untuk saringan besar-besaran, dan mana-mana keputusan positif COVID-19 yang dikesan diperlukan selepas itu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) sebagai pengesahan lanjut," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tanpa mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, katanya, penggunaan BreFence Go dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022, dan seterusnya.
Sebelum ini, MYEG dalam makluman kepada bursa pada 25 Nov, 2021, menyatakan bahawa MYEG Medical telah menerima pemberitahuan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di bawah KKM mengenai persetujuannya untuk penggunaan BreFence Go bagi pemeriksaan secara besar-besaran mengikut protokol dan garis panduan negara berkaitan kawalan jangkitan COVID-19.
-- BERNAMA
#MyEG #Brefence Go #ujian pernafasan #COVID-19