KUALA LUMPUR:MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) melancarkan dua tender untuk mendapatkan perkhidmatan perunding bagi membantu pengemukaan kawal selia kepada pihak berkuasa relevan berkaitan dengan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG).

Ini selaras dengan langkah kerajaan untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek itu, seperti yang diumumkan pada Mei tahun ini.

Tender tersebut adalah bagi pelantikan Perunding Tanah Bahagian 4 (S.4) dan Perunding Penilaian Impak Alam Sekitar, Sosial dan Warisan bagi projek HSR KL-SG.

"Hasil rumusan daripada kedua-dua perunding itu akan membentuk sebahagian daripada proses kawal selia seperti yang ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"Buku kecil Pelan Pengambilalihan Tanah S.4 (Akta 486) serta Penilaian Impak Alam sekitar akan dipamerkan kepada orang ramai semasa proses Pemeriksaan Awam bagi Skim Kereta Api yang dirancang awal tahun depan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata syarikat itu menggalakkan firma tempatan dengan pengalaman relevan untuk menyertai tender tersebut bagi menyumbang kepakaran mereka dan membantu aktiviti pengambilalihan tanah serta penilaian alam sekitar, sosial dan warisan.

"Aktiviti ini merupakan komponen pendahuluan yang kritikal bagi projek itu dan mempunyai impak ketara kepada keseluruhan penyediaan projek HSR KL-SG," katanya.

"Pewartaan S.4 kelebaran koridor 500 meter itu akan memudahkan kerja tambahan bagi projek tersebut seperti penyiasatan tanah dan pemetaan utiliti, yang akan membolehkan penyempurnaan lebih lanjut penjajaran HSR sebelum pengambilalihan tanah.

"Sementara itu, penilaian alam sekitar, sosial dan warisan yang dirancang, akan mengenal pasti potensi reseptor sensitif sepanjang koridor projek dan langkah-langkah mitigasi akan dicadangkan bagi meminimumkan impak alam sekitar, sosial dan warisan," katanya.

MyHSR Corp yang merupakan syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) diperbadankan pada 2015 di bawah penyeliaan Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri.

Bagi maklumat lanjut, syarikat yang berminat boleh melayari laman web MyHSR Corp di http://www.myhsr.com.my/tenders/kl-sg-hsr-project.

--BERNAMA