SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyarankan agar Sapura Energy Berhad (SEB) mencontohi syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah, AirAsia X (AAX) bagi mencatatkan kembali keuntungannya.

Beliau berkata demikian susulan laporan AAX yang berjaya merekodkan keuntungan sebanyak RM33.6 bilion bagi suku ketiga tahun 2022.

Menurutnya, bahagian paling besar kerugian sebanyak RM8.9 bilion yang dilaporkan SEB pada tahun lepas adalah akibat proses susut nilai dan kemerosotan nilai aset-asetnya setelah kekurangan modal kerja.

Katanya, ia sekali gus menghalang syarikat itu daripada beroperasi secara biasa setelah bank-bank menarik balik kemudahan kewangan bagi mereka.

“Maka, ia adalah cara paling mudah untuk menyelesaikan masalah kekurangan modal kerja dan kemudahan bank supaya syarikat itu boleh beroperasi dan menggunakan aset-aset tersebut untuk menjana semula 'cashflow' (aliran tunai).

“Masalah jangka masa pendek ini boleh diselesaikan dengan jaminan kerajaan kemudahan bank kepada Sapura ataupun Petronas mengambil alih secara sementara.

“Ia bukan diselesaikan dengan cara menjual aset-aset paling berharga Sapura kepada orang asing dengan harga murah setelah aset-aset itu telah dirosotkan nilai,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Najib berkata, sekiranya masalah kekurangan modal kerja SEB diselesaikan, aset-aset syarikat itu bakal menjana pendapatan yang tinggi pada ketika permintaan sektor minyak dan gas dunia semakin naik ke paras tertinggi.

“Hampir kesemua aset-aset Sapura yang pernah dirosotkan nilai sedang diperlukan dan dikejar syarikat-syarikat minyak seluruh dunia setelah harga minyak kini semakin catat paras tertinggi.

“Sapura akan terpaksa untuk menulis balik bahagian besar kerugian yang dicatat sebelum ini sebagaimana dibuat AirAsia X.

“Jangan ‘short-term’ (jangka masa pendek) sangat, nanti kita kesal hari kemudian.

"Fokus untuk menyelesaikan masalah utama, bukan fokus pada jual aset-aset kepada orang asing dengan harga murah,” ujarnya.

Tambah bekas Menteri Kewangan itu, keuntungan yang dicatat AAX adalah disebabkan syarikat itu telah menulis balik bahagian kerugian-kerugian besar yang dilaporkan setelah melakukan susut nilai dan kemerosotan nilai aset ke atas aset-aset mereka ketika pandemik COVID-19.

“Ketika pandemik, aset-aset mereka dikatakan tidak bernilai sebab tidak boleh digunakan dan tidak menjanakan sebarang ‘cash flow' (aliran tunai).

“Sebab itu syarikat tersebut membuat keputusan untuk merosotkan nilai-nilai aset dalam buku dan mencatat kerugian amat besar ketika pandemik,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, kerugian akibat proses merosot nilai aset masa itu adalah kerugian atas kertas ataupun ‘accounting loss’ sahaja.

“Kini, aset-aset mereka boleh digunakan dan mula menjana perniagaan semula. Proses penstrukturan semula AirAsia X juga telah selesai.

“Dengan itu, syarikat tersebut terpaksa menulis balik kerugian akibat merosot aset untuk melaporkan keuntungan gergasi sebanyak RM33.6 bilion,” jelasnya.


*Berita asal di Sinar Harian