Naza Italia yakin jualan tinggi mulai 2015

Astro Awani
Februari 4, 2013 10:20 MYT
Naza Italia Sdn Bhd yakin dapat mencapai jualan tahunan sejumlah 200 hingga 300 kereta mewah Maserati mulai 2015, kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Bersama, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin.
Sambil menyebut pertumbuhan ekonomi tempatan dan pemilikan kereta mewah sebagai faktor, SM Faisal menyuarakan keyakinan untuk mencapai sasaran itu.
Tahun ini, kata beliau, syarikat itu telah diberikan peruntukan sebanyak 40 unit Maserati oleh syarikat utamanya.
"Kami amat yakin dapat menjual lebih daripada peruntukan itu. Kami berharap dapat menjual sekurang-kurangnya 60 kereta Maserati tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kereta Maserati GranTurismo Sport di sini hari ini.
Naza Italia, pengimport tunggal kereta Maserati dan Ferrari di Malaysia, menjual 27 kereta Maserati tahun lepas.
SM Faisal berkata Maserati memainkan peranan yang amat penting dalam penjualan kereta mewah di Malaysia oleh Kumpulan Syarikat Naza, dan berikutan itu syarikat itu mengambil keputusan untuk melabur sejumlah besar bagi rancangan peluasan jenama di negara ini.
"Kami akan membuka sebuah lagi pusat jualan Maserati di Platinum Park, Kuala Lumpur dan syarikat ini juga sudah bersedia untuk membesarkan kemudahan Maserati di Naza Auto Mall Petaling Jaya," katanya.
Beliau juga berkata Naza Italia akan memperkenalkan dua model baharu Maserati di Malaysia, ke arah mencapai sasaran jualan 2015.
Model-model itu ialah sedan baharu yang lebih kecil dan kenderaan utiliti sukan (SUV), kata SM Faisal.
Kereta GranTurismo Sport, yang dilancarkan hari ini, ialah satu evolusi daripada model-model sebelumnya iaitu GranTurismo S dan GranTurismo Automatic.
Kereta mewah yang mampu meluncur dari 0-100 kilometer/jam dalam hanya 4.8 saat dan dijual dengan harga bermula dari RM1.12 juta.
#4 Wheels Naza Motor Group #Maserati Asia Pacific #Maserati GranTurismo Sport #Naza Group of Companies #Naza Italia Sdn Bhd