Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) merancang membangunkan Bukit Kayu Hitam, yang bersempadan dengan selatan Thailand, sebagai pusat pelancongan.

Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) Datuk Mohd Johari Baharum berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa projek untuk memajukan kawasan seluas 283 hektar di situ bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk kawasan sekitar.

"Sekarang ini hanya ada kawasan bebas cukai sahaja. Kita lihat ramai rakyat kita pergi ke Thailand untuk beli belah dan sebagainya. Sekarang ini tiba masanya untuk kita tarik orang Thailand untuk datang ke negara kita.

"Kita akan bincang dengan pihak pengurusan kawasan bebas cukai, agensi kerajaan dan pemimpin di kawasan itu dalam masa terdekat sebagai usaha untuk merealisasikan hasrat untuk bangunkan kawasan itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini malam tadi.

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata projek tersebut akan diterajui sektor swasta.

Katanya ini merupakan pendekatan yang baik berdasarkan kejayaan sektor swasta melabur di kawasan luar bandar sebelum ini.