BISNES

Negara OIC perlu perkukuh libat urus untuk rangsang perdagangan Intra-OIC - Wahid Omar

Bernama 08/12/2025 | 15:15 MYT
Abdul Wahid turut menekankan keperluan untuk bank antara negara OIC mengukuhkan operasi di seluruh negara anggota bagi memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara Islam lain perlu memperkukuh penyelarasan dan keterlibatan untuk mendorong perdagangan antara negara OIC, kata bekas Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.


Ringkasan AI
  • Penyelarasan dan keterlibatan perlu diperkukuhkan di kalangan negara OIC untuk dorong perdagangan antara mereka demi kemajuan ekonomi, kata Tan Sri Abdul Wahid Omar.
  • Bank antara negara OIC perlu mengukuhkan operasi di seluruh negara anggota bagi memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar, serupa model operasi bank ASEAN di rantau ini.
  • Dana pelaburan OIC disarankan kembali kepada pendekatan berdasarkan tujuan ke atas pulangan yang realistik, untuk memastikan keberkesanan pelaburan dan meningkatkan perdagangan antara negara OIC dan negara Islam.


Beliau berkata walaupun jumlah umat Islam semakin meningkat sehingga mencecah 1.9 bilion yang mewakili 25 peratus daripada jumlah penduduk dunia, gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi negara yang majoriti penduduknya beragama Islam masih kecil iaitu di bawah US$10 trilion.

"Promosi dan keterlibatan antara negara OIC adalah penting untuk kemajuan selanjutnya (perdagangan antara negara anggota OIC). Sehubungan itu, ia perlu dipermudah oleh agensi pelbagai hala yang kita ada, dan setakat ini, Bank Pembangunan Islam (IsDB) kekal sebagai entiti terbesar di bawah OIC.

"Walaupun IsDB membiayai pelbagai entiti swasta di pelbagai negara, kebanyakannya terhad kepada beberapa infrastruktur. Dari segi penembusan, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan IsDB memandangkan saiz (potensi) ekonomi negara-negara berkenaan," katanya.

Ahmad Wahid berkata demikian dalam sesi panel bertajuk 'Memperkukuh Perkongsian Ekonomi untuk Perdagangan, Pelaburan dan Inovasi' di Forum Perniagaan Muslim Global 2025 di sini hari ini.

Sesi itu dipengerusikan oleh Presiden Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther bersama-sama Pengerusi Bersama GMBF Prof Dr M Din Syamsuddin dan Pengerusi Eksekutif SEACO Foundation Bangladesh Salahuddin Kasem Khan sebagai ahli panel.

Abdul Wahid turut menekankan keperluan untuk bank antara negara OIC mengukuhkan operasi di seluruh negara anggota bagi memudahkan aliran perdagangan yang lebih lancar.

Malah, dalam konteks ASEAN, beliau berkata pemudah cara terbesar perdagangan dan pelaburan antara negara OIC adalah operasi bank ASEAN di seluruh rantau ini, selaku model yang boleh dicontohi oleh OIC.

"Saya berpandangan lebih baik jika kita dapat melihat lebih banyak institusi kewangan daripada negara OIC yang beroperasi antara satu sama lain.

"Kita mempunyai beberapa bank besar dari Arab Saudi beroperasi di beberapa negara ini, tetapi operasinya masih kecil dan boleh dipertingkatkan lagi," katanya.

Mengenai aliran pelaburan, beliau menggesa supaya dana pelaburan OIC kembali kepada pendekatan berasaskan tujuan ke atas pulangan dan tidak menggunakan premium risiko yang terlalu tinggi.

Abdul Wahid berkata apabila jangkaan pulangan ditetapkan pada kadar terlalu tinggi sehingga melebihi paras realistik, pelaburan di negara membangun menjadi kurang menarik walaupun kebanyakannya menawarkan saranan nilai yang kukuh.

"Oleh itu, saya menyarankan sebahagian besar dana ini daripada negara lebih kaya untuk mempertimbangkan penyaluran pelaburan modal yang lebih besar kepada lebih banyak negara membangun, dan ini pastinya akan membantu meningkatkan perdagangan antara negara OIC dan negara Islam," katanya.

-- BERNAMA


#KDNK #pertubuhan kerjasama islam #pelaburan #Bursa Malaysia