Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
BISNES

Negeri Sembilan bentang Belanjawan Negeri 2026 RM640 juta, defisit RM30 juta

Bernama 05/12/2025 | 12:45 MYT
Aminuddin (dua, kiri) menunjukkan buku Belanjawan 2026 Negeri Sembilan pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan ke-15 hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM640 juta yang meliputi perbelanjaan pembangunan sebanyak RM150 juta.


Ringkasan AI
  • Belanjawan Negeri Sembilan 2026: RM640 juta termasuk RM150 juta untuk pembangunan, defisit RM30 juta berbanding anggaran sebanyak RM610 juta.
  • Fokus pembangunan: RM28.81 juta untuk akses pendidikan berkualiti, RM5 juta untuk Skim Sewa Beli Rumah Mampu Milik Jenis A, serta RM12 juta untuk inisiatif PESONA@N9.
  • Komitmen menjelang RMK13: RM10.43 juta untuk sistem komputer negeri, hasil kutipan meningkat melebihi sasaran, dan bantuan kewangan khas bagi penjawat awam.


Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika membentangkan belanjawan bertemakan 'Belanjawan MADANI Rakyat Harmoni' itu berkata belanjawan 2026 merupakan belanjawan defisit dengan RM30 juta, berbanding anggaran hasil negeri berjumlah RM610 juta.

Beliau berkata anggaran perbelanjaan pembangunan RM150 juta akan diagihkan bagi sektor sosial sebanyak RM73.86 juta, pentadbiran (RM26.98 juta), infrastruktur (RM22.39 juta), pertanian (RM12.19 juta), kerohanian (RM9.88) juta dan pelancongan (RM4.70 juta).

"Belanjawan 2026 akan memberi fokus kepada sembilan bidang tumpuan iaitu kemampanan ekonomi, keterjaminan makanan, pendidikan, pemerkasaan komuniti serta kerohanian dan agama.

"Bidang tumpuan lain ialah pemerkasaan wanita, belia dan sukan; pelancongan, adat dan budaya; kelestarian alam sekitar serta kebajikan dan kesihatan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan (DUN) di sini.

Aminuddin berkata pelbagai inisiatif dan 26 program dirancang supaya anak-anak Negeri Sembilan mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.

"Untuk itu, sebanyak RM28.81 juta diperuntukkan pada 2026 merangkumi 16 inisiatif sedia ada dan satu inisiatif baharu iaitu pembangunan bangunan tambahan Sekolah Menengah Agama Johol," katanya.

Selain itu, sebanyak RM750,000 secara "one-off" untuk penjagaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam/FELDA seperti jalan, dewan masyarakat, surau, kemudahan air, dan sistem perparitan.

Beliau berkata kerajaan negeri bercadang melaksanakan Inisiatif RMM@N9 iaitu Skim Sewa Beli Rumah Mampu Milik Jenis A dengan peruntukan RM5 juta.

"Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri, khususnya mereka yang gagal memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan komersial disebabkan kekangan kelayakan atau pendapatan tidak tetap. Inisiatif ini menawarkan pembiayaan mudah untuk pemohon yang layak," katanya.

Menteri Besar juga berkata sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi persediaan dan penyertaan SUKMA 2026 yang akan berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos, 2026 di Selangor.

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM12 juta untuk inisiatif baharu, PESONA@N9 yang akan akan menjadi pemangkin utama kepada kempen Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

"PESONA@N9 berperanan sebagai platform sehenti bagi mempromosikan keunikan budaya, warisan, alam semula jadi serta produk pelancongan tempatan," katanya.

Di samping itu, RM1.53 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar tahun depan yang merangkumi pembangunan hutan, sambutan Hari Cuci Malaysia sempena "World Cleanup Day" serta Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan 2026, katanya.

Beliau berkata melangkah ke fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan negeri komited meneruskan pelaksanaan 194 projek bagi 2026, merangkumi 160 projek baharu dan 34 projek sambungan.

Aminuddin berkata dalam menghadapi dinamik ekonomi semasa, khususnya berkaitan automasi, digitalisasi dan perkembangan Revolusi Industri 4.0, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk bersedia dan menyesuai dengan perubahan teknologi serta budaya kerja baharu.

"Selaras dengan itu, sebanyak RM10.43 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan dan penambahbaikan sistem komputer negeri," katanya.

Beliau berkata pada 2025, pencapaian kutipan hasil setakat 5 Dis, 2025 pukul 12.00 tengah hari telah mengatasi kutipan hasil keseluruhan bagi 2024 iaitu sebanyak RM655.8 juta atau 111 peratus.

"Kedudukan rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri juga berada pada satu kedudukan yang kukuh iaitu RM897 juta sehingga 5 Dis, 2025.

"Alhamdulilah. Ini merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan. Kita menjangkakan lebihan akan lebih meningkat menjelang 31 Dis, 2025 nanti.," katanya.

Menteri Besar turut mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) berdasarkan prestasi terhad kepada maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji untuk semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibayar pada Jan dan Mac depan (sebelum Aidilfitri).

"Penghargaan ini juga kepada semua penjawat awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan manakala BKK berdasarkan prestasi akan dibayar pada Jun 2026 kepada penjawat awam yang berprestasi tinggi," katanya.

Persidangan DUN Negeri Sembilan yang bermula hari ini hingga 11 Disember akan bersambung Isnin depan.

-- BERNAMA
#penjawat awam #Belanjawan 2026 #sistem perparitan #bantuan khas kewangan