BISNES

Negeri Sembilan mampu tingkat pelaburan cecah RM8 bilion tahun ini - Aminuddin

Bernama 14/01/2026 | 13:45 MYT
Aminuddin menyampaikan ucapan pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-78 di Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Gambar Bernama
KUALA PILAH: Negeri Sembilan dijangka mampu meningkatkan aliran masuk pelaburan sehingga mencecah RM8 bilion menerusi pelbagai sektor tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.


Ringkasan AI
  • Negeri Sembilan dijangka tarik pelaburan RM8 bilion melalui pelbagai sektor tahun ini, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
  • Fokus RMK13: Tingkat daya saing ekonomi negeri, galakkan pertumbuhan sektor utama, dan cipta kluster industri khusus.
  • Bandaraya Seremban menuju fasa kedua pembangunan bandar pintar dengan teknologi pintar, jangka impak besar kepada ekonomi dan kualiti hidup rakyat.


Beliau berkata keyakinan itu berasaskan pertumbuhan berterusan dan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negeri untuk rakyat menetap, bekerja dan mengisi masa lapang di Negeri Sembilan.

Aminuddin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Negeri Sembilan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan lagi daya saing ekonomi.

"Matlamat utama adalah untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) secara mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama yang berpotensi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Aminuddin berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usaha sama dan sinergi kolaborasi antara negeri dalam memacu pelaburan bersasar.

Beliau berkata usaha itu juga sejajar dengan agenda RMK13 yang menyenaraikan pelaburan syarikat kejuruteraan Sweden, Sandvik Equipment di Bandar Sendayan sebagai antara pelaburan bernilai tinggi di Malaysia.

Aminuddin berkata tumpuan turut diberikan kepada inisiatif pembangunan zon pelaburan pelancongan (STIZ) iaitu pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni, budaya dan warisan serta alam semula jadi selaras dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).

Sementara itu, Menteri Besar juga berkata Bandaraya Seremban kini bergerak ke fasa kedua pembangunan bandar pintar sebagai sebahagian rangka kerja pembangunan bandar yang berdaya huni, berdaya saing dan lestari.

Beliau berkata fasa itu memberi penekanan kepada penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik, keselamatan bandar, perkhidmatan perbandaran serta perancangan guna tanah yang lebih mampan.

"Dalam jangka masa panjang, pembangunan Bandaraya Seremban sebagai bandar pintar akan memberi impak besar kepada negeri ini dari segi daya tarikan pelaburan bernilai tinggi, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran, serta peningkatan kualiti hidup rakyat," katanya.

-- BERNAMA


#KDNK #pelancongan #pelaburan #teknologi pintar