BISNES

Niaga hadapan emas dijangka kekal dalam aliran positif minggu depan

Bernama 03/01/2026 | 02:30 MYT
Rintangan sementara yang dilihat pada paras US$4,600 setiap auns troy mencadangkan emas mungkin memasuki fasa penyatuan, dengan sokongan dilihat hampir pada harga US$4,200 setiap auns troy. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengekalkan kecenderungan positif pada minggu depan, menjejaki keuntungan di Bursa Komoditi Amerika Syarikat (COMEX).

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) melalui satu nota semalam berkata, ia akan mengekalkan kecenderungan dagangan yang positif, dengan syarat harga kekal di atas paras US$4,000 setiap auns troy.

Bank itu berkata, rintangan sementara yang dilihat pada paras US$4,600 setiap auns troy mencadangkan emas mungkin memasuki fasa penyatuan, dengan sokongan dilihat hampir pada harga US$4,200 setiap auns troy.

"Pada peringkat ini, kedua-dua garis purata bergerak mudah 20 dan 50 hari kekal dalam aliran menaik selain terus memberikan sokongan menurun.

"Pedagang sewajarnya mengekalkan posisi beli yang bermula pada US$3,562.90 setiap auns troy, harga penutupan pada 2 Sept 2025. Bagi menguruskan risiko, paras henti rugi ditetapkan pada US$4,000 setiap auns troy auns," kata RHB IB.

Sokongan pertama akan dilihat pada paras US$4,200 setiap auns troy, dengan sokongan lebih rendah pada US$4,000, katanya.

Rintangan segera ditambat pada US$4,600 setiap auns troy, dengan rintangan lebih tinggi pada US$4,800.

Dari minggu ke minggu, kontrak Januari 2026 susut kepada US$4,401.8 setiap auns troy daripada US$4,505.10 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala Februari 2026 merosot kepada US$4,417.3 daripada US$4,520.60 dan Mac 2026 melemah US$4,433.9 daripada US$4,537.30.

Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga berakhir lebih rendah pada US$4,451.9 setiap auns troy berbanding US$4,555.30 sebelum ini.

Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 441 lot daripada 209, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 151 kontrak daripada 95.

Berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association, emas fizikal ditetapkan pada US$4,367.8 setiap auns troy setakat 30 Dis 2025.

-- BERNAMA



#emas #Bursa Malaysia #RHB Investment Bank #kecenderungan dagangan