KUALA LUMPUR: National Innovation & Commercialisation Expo (NICE) 2026 bakal menjadi platform terbesar negara dalam mempercepatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan dengan menghimpunkan penyelidik, usahawan teknologi, pelabur, pemain industri serta agensi kerajaan dalam satu ekosistem yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), NICE 2026 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dengan matlamat menghubungkan hasil penyelidikan tempatan kepada peluang pasaran, pelaburan dan penggunaan industri.
Bertemakan “Dari Misi ke Pasaran. Malaysia ke Dunia”, penganjuran kali ini memberi tumpuan kepada usaha memastikan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara tidak terhenti di makmal, sebaliknya berjaya diterjemahkan menjadi produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negara.
Menurut Ketua Pegawai Ekosistem MRANTI, Mohd Safuan Mohd Zairi, Malaysia mempunyai banyak hasil penyelidikan dan teknologi berpotensi tinggi, namun cabaran utama adalah memastikan inovasi tersebut berjaya dikomersialkan dan menembusi pasaran domestik serta antarabangsa.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung akan berpeluang meneroka lebih 180 reruai pameran yang menampilkan pelbagai inovasi daripada kementerian, agensi kerajaan, universiti, institusi penyelidikan, syarikat pemula dan pemain industri.
Selain pameran teknologi, NICE 2026 turut menampilkan pelbagai persidangan, sesi demonstrasi teknologi, padanan perniagaan (business matching), sesi pembentangan pelaburan (pitching session) serta jaringan strategik yang melibatkan pelabur, industri dan komuniti inovasi.
Turut menjadi antara acara utama ialah penyampaian Anugerah Malaysia Commercialisation Year (MCY) dan Anugerah MySTI yang mengiktiraf penyelidik, usahawan teknologi serta organisasi yang berjaya mengkomersialkan hasil penyelidikan tempatan.
Mohd Safuan berkata, NICE 2026 bukan sekadar platform pameran, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada pembentukan kerjasama baharu, akses kepada pembiayaan serta peluang pelaburan yang mampu mempercepat pertumbuhan teknologi tempatan.
Penganjuran NICE 2026 juga selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) serta Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.
Orang ramai, pelajar, penyelidik, usahawan dan pemain industri boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat pendaftaran melalui portal rasmi nice.mosti.gov.my.