BISNES
Nilai dagangan Taiwan-Malaysia cecah RM176.10 bilion, tumbuh 38.5 peratus pada 2024

Taiwan merupakan destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keempat terbesar Malaysia.
KUALA LUMPUR: Taiwan muncul sebagai rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2024, dengan nilai perdagangan mencecah RM176.10 bilion, mewakili pertumbuhan 38.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Pengarah Seksyen China dan Asia Timur serta ASEAN dan Oceania MATRADE, Mazlan Harun berkata, Taiwan juga merupakan destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keempat terbesar Malaysia.
"Taiwan merupakan rakan dagang yang penting. Antara produk utama yang kami dagangkan dengan Taiwan termasuklah produk-produk elektrik dan elektronik, produk petroleum serta peralatan optik dan saintifik.
"Jumlah dagangan dua hala yang luar biasa ini yang dicapai pada 2024 merupakan petunjuk jelas tentang sinergi ekonomi yang kukuh dan semakin berkembang antara kedua-dua negara," katanya semasa majlis prapelancaran Taiwan Expo 2025, di sini, pada Selasa.Mazlan menekankan bahawa MATRADE mengukuhkan lagi kerjasama erat dengan Taiwan dalam meningkatkan hubungan perdagangan, dengan memperbaharui semula memorandum persefahaman (MoU) bersama Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) pada Disember 2023 untuk tempoh dua tahun lagi bagi memudahkan kerjasama penting.
"Ini termasuklah program-program pertukaran pengetahuan antara pegawai MATRADE dan TAITRA, serta sokongan bersama terhadap program-program utama kedua-dua pihak seperti penyertaan dalam acara penting MATRADE iaitu Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Taiwan Expo di Malaysia," katanya.
Mazlan berkata, bersama-sama Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) dan Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei (TECO) di Malaysia, MATRADE mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Kumpulan Kerja Perdagangan (TWG) tahunan di bawah naungan Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC).
"Mesyuarat ini berfungsi sebagai platform aktif bagi pihak berkuasa dan komuniti perniagaan dari Malaysia dan Taiwan untuk bertukar-tukar pandangan serta melibatkan diri dalam perbincangan konstruktif yang bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama kami dalam perdagangan dua hala, dengan mesyuarat TWG ke-14 tahun ini akan dihoskan oleh Taiwan," kata beliau.
Mazlan berkata, kepakaran Taiwan dalam bidang semikonduktor dan pembuatan termaju adalah sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan rantaian nilai seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Begitu juga dengan ekosistem halal Malaysia yang kukuh menjadikan negara ini sebagai pintu masuk ke ASEAN dan menawarkan peluang besar untuk syarikat-syarikat Taiwan yang ingin berkembang dalam segmen-segmen itu.
"Ini menawarkan potensi besar untuk pertumbuhan bersama dan kemakmuran yang dikongsi oleh kedua-dua ekonomi," katanya.
Sementara itu, Perwakilan TECO di Malaysia, Phoebe Yeh berkata, Taiwan ialah rakan dagangan keempat terbesar Malaysia, dengan pelaburannya di negara ini meningkat lebih dua kali ganda tahun ke tahun dalam tempoh yang sama mencecah AS$1.29 bilion (AS$1 = RM4.24).
"Ini menjadikan Taiwan sebagai sumber pelaburan langsung asing kelapan terbesar di Malaysia, dengan pelaburan terkumpul mencecah AS$15.6 bilion," katanya.
Menurut Yeh, pada masa ini lebih daripada 1,700 syarikat Taiwan melabur dengan ketara di Malaysia, menunjukkan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami