Malaysia, yang merupakan pengeluar terbesar sarung tangan getah di dunia, menjangkakan jumlah eksport pada tahun ini sebanyak 225 bilion unit dengan nilai lebih RM20 bilion, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin.

Beliau berkata jangkaan itu mengatasi angka eksport 2019 iaitu 170 bilion unit yang menjana pendapatan sebanyak RM17.3 bilion.

"Industri sarung tangan getah negara kita amat penting kerana eksport dari Malaysia memenuhi 65 peratus daripada permintaan global," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) pula menganggarkan keperluan global bagi sarung tangan getah adalah sebanyak 330 bilion unit.

Willie berkata Malaysia juga merupakan pembekal utama sarung tangan getah kepada sektor perubatan yang kini mengalami keadaan kritikal ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kesihatan bersetuju menyenaraikan kilang peralatan perubatan dan pembedahan terutama pembuatan sarung tangan untuk terus beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya ingin menasihatkan semua pengusaha getah yang beroperasi dan mendapat kelonggaran semasa musim wabak COVID-19 ini supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard yang telah ditetapkan. Ini bagi membolehkan mereka beroperasi tanpa menyalahi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan," katanya.

Mengenai laporan berhubung dua kilang sarung tangan getah perubatan yang dikenal pasti telah melanggar peraturan sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar, Willie berkata perkara itu tidak patut berulang serta meminta pengusaha industri getah untuk mematuhi arahan.

-- BERNAMA