BISNES
OpenAI akan tingkatkan gaji kakitangan selepas penyelidik berjaya dipancing Meta
Susulan beberapa penyelidik telah menyambut ganjaran tinggi yang ditawarkan, pengurusan OpenAI melakukan pertemuan dengan kakitangan lain yang menerima tawaran yang sama tetapi masih belum melompat ke syarikat pesaing.
MINGGU lalu Sam Altman mendedahkan Meta cuba memancing kakitangan OpenAI dengan menawarkan ganjaran besar seperti AS$100 juta jika bersetuju untuk berpindah.
Altman berkata tidak ramai yang memakan umpan Meta tetapi dalam laporan terkini Wired, OpenAI kini dalam proses melalukan “penentukur semula pampasan” syarikat bagi mengelakkan kakitangan terus dipancing Meta.
Dengan kata lain, gaji kakitangan OpenAI akan dikaji semula dalam masa terdekat.
Beberapa penyelidik di OpenAI telah menyambut tawaran ganjaran tinggi yang ditawarkan.
Pihak pengurusan OpenAI kini telah melakukan pertemuan dengan kakitangan lain yang menerima tawaran yang sama tetapi masih belum melompat ke syarikat pesaing mereka.
Mark Chen, yang merupakan Ketua Pegawai Penyelidik OpenAI dipetik berkata tindakan Meta pada waktu ini ialah seperti “penceroboh masuk ke dalam rumah dan mencuri sesuatu”.
Meta mengubah tumpuan daripada sebuah syarikat metamesta kepada syarikat AI dalam masa yang singkat.
Kerugian puluhan bilion disebabkan kegagalan metamesta dilupakan seketika untuk menjadi kuasa besar kecerdasan buatan (AI).
Antara langkah merapatkan jurang dengan OpenAI dan Google ialah dengan membeli separuh pegangan Scale AI pada nilai $14.3 bilion yang menawarkan data untuk latihan AI.
Akibatnya Google, Microsoft dan xAI Dilaporkan ingin menamatkan hubungan dengan Scale AI.