KUALA LUMPUR: Kadar dasar semalaman (OPR) dijangka kekal pada paras 3% sekurang-kurangnya hingga separuh pertama 2024.

Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan bahawa tahap OPR sedia ada sejajar dengan pendirian dasar monetari yang menyokong ekonomi, selaras dengan penilaian semasa prospek inflasi dan pertumbuhan.

"Namun begitu, sekiranya berlaku prestasi ekonomi domestik yang luar biasa, kami berpendapat bahawa BNM mungkin mempertimbangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kembali ke paras biasa 3% pada suku ketiga 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Mengulas mengenai prospek 2024, firma penyelidikan itu menjangkakan bahawa inflasi utama dijangka meningkat berbanding tahun ini.

Ia sejajar dengan langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2024, merangkumi pemansuhan kawalan harga dan subsidi dan pengembangan asas cukai perkhidmatan serta kenaikan cukai perkhidmatan (SST) kepada 8% daripada 6%.

Bagaimanapun, garis masa yang tepat dan butiran komprehensif mengenai tarikh berkuat kuasa dan pelaksanaan langkah Belanjawan 2024 ini masih belum selesai.

"Kami juga percaya bahawa prospek inflasi domestik tertakluk kepada pelbagai penentu lain yang memerlukan penelitian yang berhati-hati dalam jangka pendek.

"Ini merangkumi peningkatan bantuan tunai, sekatan perdagangan serantau, terutamanya larangan eksport beras dan gula, ketegangan geopolitik yang berterusan, dan jangkaan kadar faedah global yang lebih tinggi yang berpanjangan, yang mungkin mengekalkan susut nilai mata wang dalam keadaan kewangan global yang lebih ketat," katanya.

PublicInvestment berkata, pihaknya mendapati Belanjawan 2024 menunjukkan kerajaan mahu melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api berperingkat, dengan penekanan khusus kepada diesel, sebagai pendekatan untuk menangani ketidakcekapan yang ketara.

Keputusan ini disokong oleh data yang menggambarkan peningkatan 40% yang ketara dalam jualan diesel bersubsidi dari 2019 hingga sekarang, walaupun pertumbuhan kecil kurang daripada 3% dalam bilangan kenderaan diesel.

"Harga tetap semasa diesel bersubsidi pada RM2.15/liter, berbeza sekali dengan kadar pasaran RM3.75/liter, menghasilkan subsidi kerajaan sebanyak RM1.60/liter, bersamaan dengan jumlah anggaran RM1 .5bn.

"Adalah menghairankan bahawa di dalam Belanjawan 2024 tiada sebarang sebutan mengenai rasionalisasi subsidi petrol RON95," katanya. - DagangNews.com