BUSINESS
OPR dijangka kekal tidak berubah pada 3.00 peratus pada 2025

Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal tidak berubah pada 3.00 peratus sepanjang 2025. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal tidak berubah pada 3.00 peratus sepanjang 2025, kata Public Investment Bank Bhd (PIVB).
Ia adalah konsisten dengan jangkaan garis dasarnya untuk unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 yang stabil masing-masing sebanyak 4.9 peratus dan 2.4 peratus inflasi berbanding 5.1 peratus dan 1.8 peratus setahun lepas.
PIVB dalam nota penyelidikan kemas kini ekonominya berkata aktiviti domestik yang sejajar secara meluas dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan risiko penurunan kepada pertumbuhan masih kekal, ia menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengambil sikap berhati-hati dan mengekalkan tetapan dasar tidak berubah dalam tempoh terdekat.
"Pendekatan tunggu dan lihat mungkin akan berlaku memandangkan BNM memantau perkembangan luaran khususnya berkaitan langkah perdagangan dan tarif," kata bank pelaburan itu.PIVB berkata sekiranya tiada kejutan ketara terhadap pertumbuhan atau trajektori inflasi, normalisasi dasar dijangka tidak berlaku.
"Implikasi ekonomi akibat tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) dan tindakan perdagangan berkaitan semikonduktor akan dipantau dengan teliti, mengambil kira kesannya yang mungkin berlaku terhadap sektor luar Malaysia.
"Faktor-faktor ini akan menjadi kritikal dalam membentuk pandangan dasar monetari ke hadapan," kata PIVB.
Sementara itu, CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan perbendaharaan dan pasaran, mengulangi jangkaannya sebelum ini bahawa OPR akan kekal pada 3.00 peratus untuk sepanjang tahun 2025.
Ia berkata di sebalik cabaran dijangka berlaku pada 2025 disebabkan oleh ketidaktentuan dasar global yang semakin meningkat serta kesan kejutan terhadap pertumbuhan dan inflasi, dasar monetari BNM akan bergantung kepada data.
"Jurang keluaran yang positif (2025: 0.5 peratus, 2024: 0.4 peratus), didorong oleh kekuatan yang mampan dalam permintaan domestik, menunjukkan bahawa dasar monetari dijangka reaktif bukannya pre-emtif kepada perkembangan dasar global dan domestik," kata CIMB Securities.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami