KUALA LUMPUR: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam mesyuarat akhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi tahun ini, adalah sejajar dengan jangkaan ramai dan berupaya memacu keyakinan pasaran, kata ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology Dr Geoffrey Williams menyifatkan keputusan itu membuktikan BNM berpandukan dasar yang tepat serta berkesan dalam usaha menurunkan inflasi keseluruhan selain menyokong pertumbuhan asas serta kestabilan kewangan dalam senario persekitaran ekonomi global yang sukar.

"Ini akan menyuntik keyakinan terhadap pasaran bahawa BNM berpegang kepada mandatnya manakala pertumbuhan ekonomi pada tahun akan datang pula tidak akan terjejas oleh kadar faedah yang tinggi," katanya kepada Bernama.

Williams berkata pengekalan OPR itu akan turut memberi kelegaan kepada peminjam dari segi kos pinjaman tidak dinaikkan dan sebaliknya dapat menyokong perbelanjaan pengguna yang diperlukan apabila faktor luaran menjadi sukar.

"Langkah itu akan menyokong pertumbuhan serta pelaburan secara keseluruhannya dan membantu menurunkan inflasi berikutan kadar faedah benar yang positif dengan inflasi di bawah OPR.

"Ini merupakan pendirian yang kembali normal dan dapat membantu dalam keadaan seiring dengan kadar inflasi lebih rendah," katanya.

Malah, Williams berkata keputusan mengekalkan OPR itu sudah memberi kesan positif terhadap ringgit yang ditutup mencecah RM4.75 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada hari ini berbanding RM4.79 pada dua hari lepas.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan BNM pada hari itu sememangnya dijangkakan ramai.

"Kenyataan BNM juga menunjukkan bahawa ia kekal berwaspada terhadap risiko penurunan pertumbuhan yang memerlukan pendirian dasar monetari yang bersifat sebagai menyokong.

"Indeks Pengurus Pembelian misalnya telah pun berada pada paras bawah 50 mata selama 14 bulan berturut-turut, sekali gus membuktikan bahawa sentimen perniagaan lebih berhati-hati," katanya.

Mohd Afzanizam berkata selain itu, eksport Malaysia menyaksikan penguncupan sejak Mac hingga September lepas yang menunjukkan kelemahan permintaan global turut menjejaskan permintaan luaran negara ini.

"Oleh itu, wujud keperluan untuk mengekalkan OPR yang lebih stabil bagi menyokong ekonomi.

"Inflasi yang mencecah paras 1.9 peratus pada September 2023 daripada paras tinggi 4.7 peratus pada Ogos 2022, juga membuktikan kredibiliti BNM dalam mengemudi dasar monetari ini serta positif bagi memacu keyakinan," katanya.

Pada masa sama, kenaikan OPR sebanyak 125 mata asas sejak Mei tahun lepas, turut menggambarkan bahawa bank pusat berkenaan telah mewujudkan dasar yang lebih wajar.

"Berikutan itu, BNM mempunyai fleksibiliti untuk mengurangkan OPR sekiranya persekitaran luaran didapati boleh menjejaskan ekonomi secara menyeluruh," katanya.

BNM hari ini mengumumkan untuk mengekalkan OPR berkenaan pada 3.00 peratus dan menjadi sesi ketiga berturut-turut bagi MPC berbuat demikian biarpun terdapat gesaan untuk menaikkannya dalam usaha menstabilkan nilai ringgit yang hampir di paras terendah berbanding dolar AS dalam tempoh 25 tahun.

Kali terakhir OPR dinaikkan adalah pada Mei lepas iaitu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

-- BERNAMA