BISNES
OPR rendah kurangkan kos pinjaman, bantu rakyat miliki rumah
Pemilik rumah sedia ada yang mempunyai pinjaman berkadar terapung secara amnya akan menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah. - Gambar hiasan/FreeImages
KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih rendah dijangka menyokong kemampuan pemilikan rumah melalui pengurangan kos bayaran balik hutang, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya pemilik rumah sedia ada yang mempunyai pinjaman berkadar terapung secara amnya akan menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah.
"Keadaan ini akan turut memberi ruang kewangan bagi menyokong perbelanjaan yang lain. Pembeli rumah juga berpeluang mendapat manfaat daripada kadar pinjaman baharu yang lebih rendah sejajar dengan pengurangan OPR," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai kewajaran penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan meningkatkan kemampuan memiliki rumah.
Bagaimanapun, katanya faktor lain termasuk profil risiko peminjam akan menentukan kos pinjaman secara menyeluruh.
Menurut MOF, kemampuan pemilikan rumah dipengaruhi oleh harga perumahan, termasuk ketersediaan rumah mampu milik serta kemampuan isi rumah untuk membayar balik pinjaman perumahan.
"Data menunjukkan sebahagian besar rumah baharu yang dilancarkan berada di luar julat harga mampu milik maksimum, dengan hanya 31.6 peratus daripada jumlah unit yang dilancarkan pada 2024 berharga bawah RM300,000," katanya.
Katanya harga rumah yang terlalu tinggi ini melebihi kemampuan pendapatan isi rumah, sekali gus mencerminkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran di pasaran perumahan.
Selain itu, katanya pendapatan dan simpanan yang terhad atau tidak mencukupi dalam kalangan isi rumah turut menjadi faktor utama yang menghalang pemilikan rumah.
Sehubungan itu, katanya kerajaan dengan kerjasama BNM dan institusi kewangan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan keupayaan rakyat memiliki rumah termasuklah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan rumah pertama.
-- BERNAMA