Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
BISNES

Optimumkan peruntukan dalam Belanjawan 2026 - TPM Fadillah

Bernama 11/10/2025 | 10:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, bercakap pada sidang media mengenai Belanjawan 2026 di sebuah hotel, hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Semua peruntukan dalam Belanjawan 2026 perlu dioptimumkan bagi memastikan ia benar-benar mencapai matlamat terutamanya dalam menjamin kesejahteraan rakyat.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof menekankan kepentingan mengoptimumkan peruntukan Belanjawan 2026, agar projek dan program dilaksanakan mengikut tempoh, skop dan bajet yang ditetapkan.
  • Sinergi antara agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting, bagi memastikan kesejahteraan rakyat tercapai dan dana yang diperuntukkan tidak dibazirkan.
  • Belanjawan 2026 memperuntukkan RM470 bilion, merangkumi perbelanjaan mengurus, pembangunan dan pelaburan, serta menjadi asas pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk lima tahun akan datang.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata sinergi antara semua agensi di bawah Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri penting bagi mencapai matlamat itu.

"Kita perlu pastikan segala projek dan program (dalam Belanjawan 2026) dapat dilaksanakan secara berkesan mengikut tempoh, skop kerja dan bajet yang telah ditetapkan.

"Sebab itu pemantauan perlu baik bagi memastikan duit diperuntukkan dapat dibelanjakan. Kadang-kadang kita lihat duit dah diperuntukkan itu tidak dibelanjakan sepenuhnya, jadi ini merugikan matlamat dan tujuan kita," katanya pada sidang media mengenai Belanjawan 2026 di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 bertemakan 'Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat' yang memperuntukkan keseluruhan RM470 bilion dengan tumpuan memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memastikan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama oleh semua golongan masyarakat.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 itu berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan serta RM30 bilion pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) (RM10.8 bilion).

Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

-- BERNAMA




#Belanjawan 2026 #Fadillah Yusof #optimumkan peruntukan #menjamin kesejahteraan rakyat