Panasonic (M) Sdn Bhd mensasarkan peningkatan hasil sebanyak 30 peratus kepada RM130 juta daripada perniagaan sistem penyelesaiannya dalam tahun ini, didorong oleh lima kategori industri yang utama, kata Timbalan Pengarah Urusan Hiroyuki Muto.

Lima kategori itu adalah pembangunan hartanah, pendidikan, hospitaliti, runcit, penyiaran dan perfileman, katanya kepada pemberita semasa majlis pelancaran produk perniagaan sistem penyelesaian syarikat itu di sini hari ini.

"Tidak seperti pembekal barangan elektrik dan elektronik yang lain, Panasonic menawarkan pelbagai penyelesaian perniagaan yang bersepadu.

"Ini akan membantu perniagaan untuk menjalankan operasi melangkaui sempadan antarabangsa di samping meningkatkan produktiviti serta mengurangkan jumlah kos pemilikan," kata Hiroyuki.

Pada majlis itu, lapan produk telah diperkenalkan oleh Panasonic sebagai tambahan kepada barisan produk sistem penyelesaiannya.

Produk-produk itu terdiri daripada pelayan komunikasi, sistem sidang video definisi tinggi, perisian pengurusan video, projektor, pengimbas dan kamera.

"Kami juga menawarkan perkhidmatan profesional kepada pelanggan termasuk khidmat rundingan, reka bentuk sistem, demonstrasi, integrasi produk dan penggunaan," kata Ketua Negara Sistem Penyelesaian Panasonic, Seelan Kandasamy.

Mengenai perkongsiannya dalam kategori produk, Seelan berkata Panasonic menerajui segmen komunikasi dan audio profesional, serta dalam kategori video, manakala segmen televisyen litar tertutup (CCTV) syarikat itu berada di tempat kedua.

"Kami mahu menjadi pemimpin kategori CCTV dalam masa terdekat kerana perbezaan dalam perkongsian pasaran hanya 0.5 peratus," katanya.