[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
BISNES

Pasaran automotif Malaysia kekal utuh pada 2025, TIV cecah 820,752 unit - MAA

Bernama 20/01/2026 | 15:00 MYT
Mohd Shamsor berkata prestasi memberangsangkan itu didorong ekonomi berdaya tahan yang dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan eksport. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran automotif Malaysia berjaya mengekalkan momentum kukuhnya pada 2025, melangkaui nilai ambang 800,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut dengan jualan keseluruhan industri (TIV) meningkat 0.5 peratus kepada 820,752 daripada 816,747 unit, tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Pasaran automotif Malaysia mencatat prestasi memberangsangkan pada 2025 dengan peningkatan jualan keseluruhan industri (TIV) kepada 820,752 unit, melebihi nilai ambang 800,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut.
  • Pengeluaran industri (TIP) pada tahun tersebut menurun 5.4 peratus kepada 747,780 unit berbanding tahun sebelumnya, disebabkan oleh peningkatan kenderaan elektrik bateri (BEV) yang diimport sepenuhnya.
  • Meskipun sektor automotif menghadapi cabaran, prospek masa depan masih positif dengan faktor seperti kadar pengangguran yang rendah, permintaan kenderaan cekap tenaga, dan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik yang berterusan.


Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain berkata prestasi memberangsangkan itu didorong ekonomi berdaya tahan yang dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan eksport.

Ini berikutan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.7 peratus dalam tiga suku pertama pada 2025.

Beliau berkata penurunan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus mulai Julai 2025, juga menyediakan persekitaran kondusif bagi pembiayaan kenderaan ketika kestabilan landskap sosiopolitik membantu menyokong keyakinan perniagaan dan kestabilan pekerjaan.

"Pasaran pekerjaan yang positif juga menyokong industri dengan kadar pengangguran pula di paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 2.9 peratus," katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Shamsor berkata kenderaan jenama nasional mencatat jualan 511,468 unit atau menyumbang 62.3 peratus bahagian pasaran berbanding 309,284 unit bagi buatan bukan nasional atau 37.7 peratus daripada bahagian pasaran.

"Gabungan bahagian pasaran bagi dua jenama nasional meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 62.3 peratus atau 511,468 unit namun pada kadar pertumbuhan lebih rendah iaitu 1.1 peratus.

"Jenama bukan nasional mencatat jumlah jualan lebih rendah sebanyak 309,284 unit atau susut 0.6 peratus pada 2025 berbanding 2024, terutamanya disebabkan sumbangan segmen kenderaan komersial yang kurang memberangsangkan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata jumlah pengeluaran industri (TIP) pada 2025 turun sebanyak 5.4 peratus kepada 747,780 unit berbanding 790,347 unit pada 2024.

"Penyusutan pengeluaran dalam keadaan TIV meningkat itu disebabkan peningkatan bilangan kenderaan elektrik bateri (BEV) model diimport sepenuhnya (CBU) yang didaftarkan pada 2025.

"(Susulan tarikh akhir) penamatan insentif CBU BEV pada 31 Dis, 2025, juga melonjakkan jualan dan permintaan BEV," katanya.

Menyentuh prospek masa depan, Mohd Shamsor berkata walaupun sektor automotif itu berdepan cabaran, beberapa faktor sebaliknya berkemungkinan menyokong daya tahan pasaran pada 2026.

"Ini termasuk kadar pengangguran yang terus rendah dan menyokong kestabilan pendapatan serta keyakinan pengguna selain permintaan kukuh bagi kenderaan cekap tenaga dan mampu milik, terutamanya jenama buatan nasional," katanya.

Beliau berkata pembangunan ekosistem kenderaan elektrik yang berterusan akan meningkatkan sokongan daripada kalangan pengeluaran kenderaan elektrik asing menerusi pelaburan, pemindahan teknologi serta pertumbuhan di masa depan.

"Pengenalan model dan jenama baharu dijangka merangsang minat pasaran manakala strategi promosi yang menarik serta perkhidmatan dengan nilai tambah akan memberi pilihan lebih baik untuk pelanggan," katanya.

Mohd Shamsor berkata berdasarkan risiko dam faktor membabitkan sektor automotif, MAA mengunjurkan TIV bagi 2026 sebanyak 790,000 unit atau penurunan 3.8 peratus daripada 2025.

-- BERNAMA




#KDNK #pelaburan #pengeluaran industri #kenderaan elektrik