BISNES

Pasaran buruh Malaysia terus kukuh pada suku ketiga 2025 - DOSM

Astro Awani 10/11/2025 | 04:13 MYT
Suku ketiga 2025 mencatat prestasi terbaik dalam sedekad, dengan kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus dan guna tenaga terus meningkat. - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku ketiga 2025, dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0 peratus dan jumlah penganggur menurun kepada 519,900 orang.


Ringkasan AI
  • Kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0% dengan jumlah penganggur menurun kepada 519,900 orang, manakala tenaga buruh meningkat kepada 17.49 juta dan bilangan bekerja bertambah kepada 16.97 juta.
  • Peningkatan penyertaan tenaga buruh kepada 70.9% dan penurunan pekerja bekerja kurang 30 jam seminggu menunjukkan peningkatan kualiti guna tenaga, walaupun guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal tinggi pada 35.5%.
  • Pertumbuhan sektor pekerjaan dipacu oleh perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian, dengan Selangor mencatat kadar penyertaan tertinggi (78.2%) dan Putrajaya kadar pengangguran terendah (1.4%).


Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tenaga buruh keseluruhan meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada 17.49 juta orang, manakala bilangan penduduk bekerja bertambah kepada 16.97 juta orang berbanding 16.85 juta pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, menyatakan bahawa kestabilan pasaran buruh dipacu oleh peningkatan penyertaan tenaga buruh serta pengukuhan aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor utama.

“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 70.9 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding 70.8 peratus pada suku kedua.

"Penurunan sebanyak 4.2 peratus dalam bilangan pekerja yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu turut mencerminkan peningkatan kualiti guna tenaga,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun kepada 0.8 peratus.

Namun, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal tinggi pada 35.5 peratus, menunjukkan ramai tenaga kerja berpendidikan tinggi masih berada dalam pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah.

Mengikut sektor, guna tenaga dalam bidang perkhidmatan terus mencatat pertumbuhan stabil, dipacu oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan, makanan dan minuman, serta maklumat dan komunikasi.

Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari, serta pertanian turut menambah bilangan pekerja sejajar dengan pengembangan aktiviti ekonomi.

Prestasi bulanan bagi September 2025 turut menyokong momentum suku ketiga, dengan jumlah penganggur menurun kepada 518,600 orang berbanding 520,000 pada Ogos.

Bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 17.03 juta orang, manakala tenaga buruh keseluruhan bertambah kepada 17.54 juta orang.

Kadar pengangguran kekal pada 3 peratus untuk bulan kedua berturut-turut.

DOSM turut melaporkan penurunan dalam bilangan penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia dan aktif mencari pekerjaan, kepada 413,600 orang.

Daripada jumlah ini, 64.6 peratus menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala hanya 4.9 peratus menganggur melebihi setahun.

Penganggur tidak aktif pula berkurang sedikit kepada 104,900 orang.

Dari segi demografi belia, kadar pengangguran bagi golongan berumur 15 hingga 24 tahun menurun kepada 10.1 peratus, manakala bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal pada 6.2 peratus.

Dalam masa yang sama, jumlah penduduk di luar tenaga buruh meningkat kepada 7.21 juta orang, dengan kerja rumah dan tanggungjawab keluarga kekal sebagai sebab utama.

Mengikut negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat kadar pengangguran terendah pada 1.4 peratus, diikuti Pahang (1.7 peratus) dan Selangor (1.8 peratus).

Sembilan negeri merekodkan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh, dengan Selangor terus mendahului pada 78.2 peratus.

Uzir menegaskan bahawa pasaran buruh Malaysia kini berada pada tahap terbaik dalam lebih sedekad, disokong oleh peluang pekerjaan yang stabil dan pembangunan ekonomi yang mampan.

Beliau turut menekankan peranan berterusan kerajaan dalam memperkukuh modal insan, memupuk keusahawanan dan membangunkan sektor strategik seperti industri halal dan teknologi digital.





#Jabatan Perangkaan Malaysia #Malaysia #buruh #pengangguran