[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
BUSINESS

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Bernama 21/04/2025 | 12:45 MYT
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga SMR 20 naik 9.5 sen kepada 760.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 5.0 sen kepada 646.50 sen sekilogram. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pasaran getah ditutup bercampur-campur hari ini dalam persekitaran pasaran niaga hadapan getah serantau yang meningkat dan ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS, kata seorang peniaga.
Beberapa faktor mendorong peningkatan sentimen termasuk bekalan getah asli yang merosot disebabkan musim daun pokok getah luruh dan hujan lebat di negara pengeluar utama getah asli.
Selain itu, harapan yang cerah terhadap rundingan berkaitan tarif antara China-Amerika Syarikat (AS) serta langkah rangsangan China yang selanjutnya turut meningkatkan sentimen pasaran.
Bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai dasar tarif AS menjejaskan sentimen positif itu, katanya kepada Bernama.
Harga minyak susut hampir dua peratus dalam waktu dagangan Asia hari ini apabila perbincangan antara AS dan Iran mengenai program nuklear negara itu meredakan kebimbangan gangguan bekalan.
Pada masa yang sama, gencatan senjata sementara antara Rusia dan Ukraine berikutan sambutan Easter Sunday mengurangkan lagi premium risiko minyak.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 naik 9.5 sen kepada 760.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 5.0 sen kepada 646.50 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup pada Jumaat, 18 April, sempena Good Friday.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #harga minyak #hujan lebat #getah asli