Pasaran kewangan dalam negara kekal teratur, stabil serta terus berfungsi secara berkesan selain turut melancarkan aktiviti peserta pasaran selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, secara keseluruhannya, sentimen dan reaksi pelabur juga terbukti positif, kata Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), badan yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Sejak pasaran ringgit dibuka semula pada Isnin, ringgit didagangkan pada harga yang menyamai paras harga sebelum PRU14 iaitu dalam sekitar 3.95 selepas mencatat 3.97 pada dagangan awal.

"Ini menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kerajaan baharu Malaysia," kata Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia, Datuk Lee Kok Kwan yang dipetik dalam kenyataan itu.

Pasaran pertukaran asing dalam negara juga kekal aktif dengan mencatatkan purata jumlah dagangan harian melebihi US$15 bilion selepas pilihan raya.

Pasaran domestik utama lain termasuk bon kerajaan, bon korporat dan pasaran wang terus kekal disokong oleh para pelabur, sebagaimana dibuktikan oleh nisbah bida liputan setakat tahunan ini yang paling kukuh sebanyak 3.4 kali bagi pembukaan semula Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk tempoh tujuh tahun.

Malah, usaha pengantaraan kewangan juga terus lancar dan didorong oleh mudah tunai secukupnya dalam pasaran.

FMC berkata asas-asas ekonomi Malaysia kekal stabil dan terus diperkukuhkan oleh lebihan akaun semasa, kedudukan rizab yang kukuh, tahap hutang luar yang rendah dan sistem perbankan dengan modal yang baik.

"Kita akan terus memantau perkembangan ini serta bekerjasama dengan peserta pasaran kewangan. Ini termasuk mengambil langkah-langkah proaktif untuk menangani ketidaktentuan yang mungkin disebabkan oleh proses peralihan dalam usaha memastikan perjalanan pasaran kewangan yang teratur, " katanya.

-- BERNAMA