KUALA LUMPUR: Pavilion Bukit Jalil, pusat membeli-belah dengan keluasan 1.8 juta kaki persegi akan mula dibuka dan menyambut kehadiran pengunjung pada 3 Disember 2021, bersempena cuti akhir tahun.

Pengarah syarikat pemaju Regal Path Sdn Bhd, Datuk Lee Whay Hoong berkata kompleks beli-belah itu bukan sahaja bakal dihiasi jenama terkenal tempatan dan antarabangsa yang sudah bertapak di Malaysia malah terdapat juga jenama baharu yang memilih Pavilion Bukit Jalil Mall sebagai ‘pintu masuk’ pertama mereka ke Malaysia. 

Pelanggan katanya akan mendapat pengalaman berbeza di bangunan lima tingkat itu dan sehingga kini, lebih daripada satu juta kaki persegi ruang perniagaan telah disewa.

Kata Lee lagi, kompleks itu akan menyediakan pelanggan dengan konsep menarik dan kawasan bertemakan negara Asia seperti Korea, Jepun, Taiwan, China, Thailand dan Malaysia.

“Kami telah membangunkan Pavilion Bukit Jalil untuk dijadikan sebagai lokasi baharu untuk membeli-belah dengan gaya hidup metropolitan di rantau ini.

“Kami mengharapkan untuk melihat kemasukan pengunjung sebanyak 2.5 hingga 3 juta dalam sebulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, Pavilion Bukit Jalil juga menawarkan ruang yang besar untuk penganjuran acara seperti PIAZZA luar seluas 28,000 kaki persegi sebagai pusat hiburan dan acara luar selain pusat pameran seluas 47,000 kaki persegi juga terdapat dalam bangunan tersebut.

“Dengan musim perayaan akhir tahun, kami sangat gembira dapat mengalu-alukan anda untuk menyertai kami pada 3 Disember 2021 di Pavilion Bakit Jalil.

“Pusat beli-belah ini merupakan destinasi membeli-belah gaya hidup baharu di mana pengunjung dapat menikmati banyak pilihan baik dari segi makanan dan juga barangan lain,” ujarnya lagi.