KUALA LUMPUR: Pasar raya terkemuka Jaya Grocer dan penyedia perkhidmatan e-hailing Grab Malaysia tampil menjadi rakan strategik terbaharu kerajaan dalam inisiatif Payung Rahmah untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ia membuktikan usaha kerajaan terus mendapat sambutan daripada pemain industri di negara ini.

"Penyertaan Grab dan Jaya Grocer membuktikan kerajaan tidak bersendirian dalam usaha membantu rakyat. Malah, selepas ini saya akan umumkan mungkin ada dua atau tiga lagi jenama besar akan tampil dalam inisiatif Payung Rahmah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif Payung Rahmah bersama Jaya Grocer dan Grab di ibu negara pada Khamis.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, langkah KPDN seterusnya ialah memperkenalkan inisiatif Ekonomi Rahmah yang akan dirangka bagi matlamat yang lebih menyeluruh kepada rakyat.

"Jadi ini membuktikan bahawa apa kita usahakan ini akan sampai tahap kedua. Tentang inisiatif Ekonomi Rahmah, ini selepas kita lihat hasil positif (Payung Rahmah)... kita akan pergi ke peringkat lebih serius.

"Inisiatif Ekonomi Rahmah itu akan selaras dengan peluncuran Ekonomi Madani oleh Perdana Menteri pada bulan hadapan," katanya lagi.