KUALA LUMPUR: Adaptasi teknologi terutamanya teknologi pembayaran digital ternyata berjaya membantu perusahaan nano, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan.

Bukan hanya pemasaran secara dalam talian, adaptasi teknologi turut membantu PMKS menambah baik perkhidmatan, automasi tugasan sekali gus meningkatkan produktiviti.

Suri Lifestyle, salah sebuah perusahaan sosial berasaskan fesyen kitar semula di negara ini telah berjaya mengorak langkah dalam meluaskan perniagaannya untuk membantu lebih ramai ibu tunggal terutama di Klang.

Pengasasnya, Sally Ahmad berkata adaptasi teknologi serta sokongan syarikat-syarikat korporat seperti PayNet telah membantu mereka yang sebelum ini hanya bertapak di Klang, Selangor memperluas inisiatif itu ke Langkawi, Kedah.

“Perusahaan sosial kami ini kecil dan banyak sangat kekurangan terutama kekurangan dari segi dana dan jaringan.

“Apabila kami bekerjasama dengan PayNet, PayNet mempunyai rangkaian korporat yang besar di mana ia boleh membantu kami perusahaan sosial untuk sama-sama membantu komuniti dan negara,” katanya.

PayNet Digital Payments Week berlangsung dari 24 hingga 29 Mei 2023.

Sementara itu, syarikat pembangun ekosistem fintech patuh syariah, MADCash juga berjaya membantu lebih ramai PMKS wanita luar dan pinggir bandar mendapatkan pembiayaan kecil dengan lebih mudah.

Pengasasnya, Nuraizah Shamsul Baharin berkata sokongan yang diberikan bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi juga dalam bentuk mentor, latihan dan pelbagai lagi.

“Di MADCash, kita mengamalkan konsep tiada kadar faedah.

“Jadi apa yang kita nak adalah kita mencari wanita yang ingin memasuki program pembinaan usahawan. Di Malaysia ada banyak program usahawan.

“Cuma apa yang kami pentingkan adalah untuk mereka yang betul-betul ingin mengembangkan perniagaan,” katanya.

Mereka ditemui Astro AWANI pada hari ketiga Minggu Pembayaran Digital PayNet (PDPW) anjuran penyedia infrastruktur pembayaran digital runcit Malaysia, Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet.


Hari ketiga turut menyaksikan empat syarikat permulaan atau start-up fintech iaitu CHIP dan Beez Fintech, yang telah memenangi PayNet Fintech Accelerator 2022 dan PayWatch dan Swipey yang bakal berkolaborasi dengan PayNet, di mana teknologi digunakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh PMKS.

Sesi berakhir dengan panel mengenai pendanaan yang tersedia di negara ini untuk syarikat-syarikat pemula.

Pimpinan kana dari  MAVCAP, Malaysian Business Angel Network, dan Malaysian Venture Capital Association dan Scale-Up, sebuah accelerator membincangkan peluang-peluang pendanaan yang sedia ada untuk setiap peringkat pertumbuhan syarikat-syarikat pemula di negara ini.

Apa yang telah dikenalpasti ialah perlunya perbincangan lebih mendalam dan menyeluruh di kalangan pemegang-pemegang taruh di negara ini bagi mewujudkan satu ekosistem syarikat-syarikat pemula yang sihat dan pesat pembangunannya.