BISNES

Pelabur asing catat aliran masuk bersih RM303 juta di Bursa Malaysia minggu lepas

Bernama 07/07/2025 | 04:30 MYT
Pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan aliran masuk antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih bagi minggu kedua berturut-turut sebanyak RM303 juta di Bursa Malaysia -- kali pertama sejak pertengahan Mei 2025 -- sembilan kali lebih tinggi daripada aliran masuk minggu sebelumnya sebanyak RM33.2 juta,kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.


Ringkasan AI
  • Pelabur asing mencatat aliran masuk bersih RM303 juta ke Bursa Malaysia bagi minggu berakhir 4 Julai 2025, sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya, dengan pembelian bersih berlaku setiap hari kecuali Jumaat.
  • Sektor utiliti, produk dan perkhidmatan perindustrian serta pengangkutan dan logistik menerima aliran masuk tertinggi, manakala sektor penjagaan kesihatan, telekomunikasi dan media serta kewangan mencatat aliran keluar tertinggi.
  • Institusi tempatan terus membeli dengan aliran masuk RM61 juta, sementara peruncit tempatan menjual bersih sebanyak RM363.9 juta; jumlah dagangan harian meningkat bagi semua kategori pelabur.


Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 4 Julai 2025, katanya pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan kecuali Jumaat, dengan aliran masuk antara RM23.3 juta hingga RM112.6 juta.

"Aliran masuk terbesar dicatatkan pada Khamis, diikuti Selasa berjumlah RM106.8 juta. Hanya pada Jumaat merekodkan aliran keluar bersih -RM6.0 juta," katanya dalam nota penyelidikan.

Menurutnya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi adalah utiliti (RM419.3 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM182.8 juta) dan pengangkutan dan logistik (RM98.2 juta).

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi adalah penjagaan kesihatan (-RM177.0 juta), syarikat telekomunikasi dan media (-RM153.7 juta) dan perkhidmatan kewangan (-RM78.9 juta).

Institusi tempatan turut meneruskan aktiviti pembelian mereka, menyambung trend pembelian selama tujuh minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM61.0 juta, lebih rendah berbanding minggu sebelumnya iaitu RM142.8 juta.

Sementara itu, peruncit tempatan meneruskan jualan asing bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan mencatat aliran keluar bersih -RM363.9 juta, dua kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak -RM176.0 juta.

"Purata jumlah dagangan harian menyaksikan peningkatan meluas pada minggu lepas.

"Peruncit tempatan dan institusi tempatan mencatat peningkatan masing-masing sebanyak +6.6 peratus dan +36.2 peratus manakala pelabur asing turut merekodkan kenaikan berjumlah +8.2 peratus," katanya.

-- BERNAMA


#Bursa Malaysia #ekonomi malaysia #pelabur asing #MIDF Amanah