KUALA LUMPUR: Aliran dana pelabur asing positif dalam ekuiti Malaysia pada September 2023, mencatatkan pembelian bersih berjumlah RM674 juta dalam 13 daripada 20 hari dagangan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Penganalisis Maybank IB, Wong Chew Hann berkata ia juga mewakili pembelian bersih pelabur asing bagi bulan ketiga berturut-turut, di mana mereka mencatat aliran masuk pada Julai dan Ogos masing-masing berjumlah RM1.41 bilion dan RM141 juta, mengurangkan jualan bersih pelabur asing untuk sembilan bulan pertama 2023 (9M 2023) kepada RM1.96 bilion.

Wong berkata pegangan pelabur asing dalam pasaran adalah 19.5% pada akhir September 2023 berbanding 20.6% akhir 2022, paras rendah baharu sejak krisis kewangan global.

Mengulas mengenai pelabur institusi tempatan, beliau berkata mereka telah menjual RM577 juta pada September, berbanding aliran positif Ogos berjumlah RM291 juta, menurunkan pembelian bersih mereka untuk 9M 2023 kepada RM2.59 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit telah menjual RM97 juta pada September berbanding RM432 juta bulan sebelumnya, menaikkan jualan bersih setakat tahun ini kepada RM620 juta.

“Purata dagangan harian (ADV) ekuiti bulan ke bulan lebih tinggi sedikit pada September yang berjumlah RM2.4 bilion daripada RM2.3 bilion bulan sebelumnya, di mana penyertaan pelabur asing dalam aktiviti dagangan (kecuali transaksi perniagaan secara langsung) adalah 32.9% pada September (Ogos: 32%), pelabur insititusi tempatan pada 41.2% (Ogos: 41.2%) dan pelabur runcit mencatat 26% (Ogos: 26.8%),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut Wong, saham YTL Power International Berhad merupakan pilihan utama pelabur asing pada September (mengikut nilai) bagi setiap data Dibots, diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB), CIMB Group Holdings Berhad, Petronas Dagangan Berhad dan YTL Corporation Berhad.

Manakala saham yang mencatatkan aliran keluar tertinggi pelabur asing pada September adalah RHB Bank Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, MyEG Services Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad dan Maybank Banking Berhad.

Secara kumulatif bagi 9M 2023, pelabur asing mencatat jualan saham tertinggi dalam Petronas Chemicals, CIMB, Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank; pembelian tertinggi pula adalah dalam saham Maybank, Malaysia Airports Holdings Berhad, Gamuda Berhad, YTL Power dan YTL.

Bagi bon ringgit, Wong berkata ia telah menyaksikan aliran keluar pertama untuk tahun ini pada Ogos sebanyak RM5 bilion, menterbalikkan sebahagian besar keuntungan bersih RM11.3 bilion pada Julai.

“Ini menghentikan aliran masuk tujuh bulan berturut-turut (Januari hingga Julai 2023) dan mengurangkan jumlah pegangan pelabur asing kepada RM274.2 bilion pada akhir Ogos (Julai: RM279.2 bilion).

“Bahagian pelabur asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan MGS+GII (Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan) masing-masing jatuh kepada 35.8% (Julai: 36.6%) dan 23.4% (Julai: 24.2%),” tambahnya. - DagangNews.com