KUALA LUMPUR: Pelabur asing menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selepas tiga minggu mencatatkan jualan bersih dengan pembelian berjumlah RM23.1 juta minggu lepas berbanding jualan bersih RM27.7 juta pada minggu sebelumnya, kata MIDF Research.

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 15 Sept, firma penyelidikan itu berkata dagangan minggu lepas bermula dengan aliran keluar, tetapi kemudiannya beralih kepada aliran masuk bermula Rabu hingga Jumaat dengan mencatatkan sejumlah RM318.9 juta.

Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjadi penjual bersih ekuiti domestik pada kadar RM2.47 bilion.

"Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih minggu lepas ialah utiliti (RM105.5 juta), pembinaan (RM53.6 juta) dan perladangan (RM49.9 juta).

"Sementara sektor dengan aliran keluar bersih asing ialah penjagaan kesihatan (RM50.5 juta), REIT (RM50.0 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM22.4 juta)," katanya.

Menurut MIDF, institusi tempatan mengakhiri pembelian bersih selama empat minggu berturut-turut dengan jualan berjumlah sehingga RM131.5 juta saham minggu lepas, menghasilkan aliran masuk bersih RM3.16 bilion setakat tahun ini.

"Untuk minggu ke-10 berturut-turut, peruncit tempatan terus menjual ekuiti domestik, menyaksikan jualan bersih berjumlah RM103.7 juta minggu lepas. Setakat tahun ini, peruncit tempatan telah mencatatkan aliran keluar sebanyak RM687.3 juta," tambahnya.

Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) oleh pelabur runcit (-12.9 peratus) dan institusi tempatan (-9.6 peratus), manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan (+68.5 peratus).

-- BERNAMA