KUALA LUMPUR: Pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti Malaysia pada Julai, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM300.9 juta, dengan pembelian tertumpu dalam perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan logisitk serta utiliti.
Menurut ‘Laporan Aliran Dana Mingguan' terkini MBSB Research, saham perkhidmatan kewangan menarik aliran masuk terbesar pada bulan tersebut iaitu RM1.11 bilion, diikuti oleh pengangkutan dan logistik sebanyak RM367.2 juta dan utiliti sebanyak RM305.6 juta.
Ketua Penyelidikan di MBSB Research Imran Yassin Yusof berkata pengagihan aliran masuk itu menawarkan penunjuk sentimen pelabur yang lebih bermakna berbanding angka keseluruhan.
Tambahnya, kemasukan semula belian oleh pelabur asing merupakan petanda yang konstruktif, tetapi komposisi alirannya adalah lebih jelas daripada angka utama.
“Aliran masuk tertumpu kepada perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan logistik, serta utiliti, manakala produk teknologi dan perindustrian serta perkhidmatan terus mencatatkan jualan.
“Pada pandangan kami, ini mencerminkan peruntukan modal yang lebih selektif terhadap sektor yang menawarkan kebolehlihatan pendapatan yang lebih jelas, perkaitan domestik yang lebih kukuh dan ciri-ciri yang lebih defensif,” jelasnya dalam satu nota penyelidikan semalam.
Bagaimanapun, Imran Yassin berkata aliran masuk selama sebulan tidak menunjukkan trend yang berkekalan.
“Harga pengeluar yang lebih tinggi, penunjuk utama yang lebih lemah dan ketidaktentuan kadar faedah global boleh terus membentuk minat pelabur dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
MBSB Research juga menekankan bahawa aliran masuk pada Julai berlaku dalam latar ekonomi yang bercampur-campur, dengan inflasi harga pengeluar Malaysia meningkat kepada 9.2 peratus tahun ke tahun pada Jun, iaitu kenaikan tahunan paling kukuh sejak Jun 2022.
Ini sebahagian besarnya didorong oleh gangguan rantaian bekalan yang dikaitkan dengan konflik di Asia Barat.
Menurut laporan itu juga, pada masa sama, Indeks Pelopor Malaysia merosot 0.5 peratus bulan ke bulan pada Mei, dengan pertumbuhan tahunan menyederhana kepada 0.8 peratus, yang menunjukkan prospek ekonomi jangka pendek yang lebih perlahan.
Tambahnya, berikutan itu, minat baharu dalam pengangkutan dan logistik serta utiliti memberikan isyarat yang tepat pada masanya kepada industri mengenai perkara yang melibatkan perdagangan, mobiliti, tenaga dan pembangunan perindustrian.
Sehubungan itu, katanya, walaupun klasifikasi sektor yang digunakan dalam laporan aliran dana itu tidak sepadan secara langsung dengan program pembiayaan individu, namun ia menunjukkan bahawa pelabur asing kembali yakin terhadap pasaran Malaysia.
-- BERNAMA