BISNES

Pelaburan asing sektor minyak dan gas Sabah terus meningkat

Astro Awani 19/07/2025 | 10:20 MYT
Sabah muncul sebagai bintang baharu menggabungkan kestabilan politik, persekitaran kawal selia yang mesra pelabur, dan kedudukan geografi yang strategik. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sabah kini menempuh lonjakan strategik sebagai pusat tumpuan pelaburan asing, khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G) huluan.


Ringkasan AI
  • Sabah menarik pelaburan langsung asing (FDI) lebih RM11 bilion sejak 2020, dengan hampir 40 peratus disumbangkan oleh sektor minyak dan gas huluan, menjadikannya pusat tumpuan pelaburan baharu di Malaysia Timur.
  • Perpindahan operasi ConocoPhillips dari Sarawak ke Sabah mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kawal selia dan potensi kawasan seperti Blok SB409 dan SB310, berbanding isu pertindihan kuasa yang menjejaskan pelaburan di Sarawak.
  • Struktur kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Malaysia yang kompetitif, kerjasama strategik Petronas dengan syarikat antarabangsa, serta kestabilan politik dan dasar tenaga negara menjadikan Sabah lebih menarik berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.


Dalam landskap pelaburan serantau yang semakin mencabar, negeri ini muncul sebagai bintang baharu menggabungkan kestabilan politik, persekitaran kawal selia yang mesra pelabur, dan kedudukan geografi yang strategik.

Menurut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Sabah berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) bernilai lebih RM11 bilion sejak 2020, dengan hampir 40 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor minyak dan gas.

Peningkatan ini berlaku seiring ketidaktentuan geopolitik global yang menyebabkan para pelabur mencari alternatif yang lebih selamat dan mampan.

Pensyarah adjung Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman, berkata pelabur antarabangsa kini melihat Sabah sebagai destinasi berisiko rendah tetapi berpotensi tinggi, lebih-lebih lagi apabila ketegangan di Asia Barat dan Laut Merah memberi kesan kepada kestabilan rantaian bekalan.

Salah satu pemangkin utama peningkatan minat pelabur ke Sabah ialah langkah ConocoPhillips untuk mengalihkan fokus operasinya dari Sarawak ke perairan dalam Sabah.

Syarikat minyak dan gas dari Amerika Syarikat itu sebelum ini terlibat secara aktif dalam projek gas di Sarawak, namun ketidaktentuan peraturan negeri dan isu pertindihan kuasa antara Petronas dan syarikat minyak negeri Petros telah menjejaskan keyakinan pelabur.

“Perpindahan ConocoPhillips ke Sabah mencerminkan kepercayaan terhadap potensi kawasan yang belum diteroka seperti Blok SB409 dan SB310, serta kebolehlaksanaan pembangunan semula medan Kota Belud,” ujarnya.

Pelaburan ConocoPhillips di rantau Asia Tenggara bukan sesuatu yang baharu.

Syarikat ini telah lama terlibat dalam projek penerokaan laut dalam di Indonesia dan Vietnam, dan kini memperkukuh kehadirannya di Malaysia Timur menandakan keyakinan terhadap dasar tenaga negara dan kebolehcapaian sumber di Sabah.

Namun, di sebalik potensi besar Sarawak dalam sektor LNG dan blok gas aktif seperti SK318 dan SK408, masalah struktur kawal selia menjadi batu penghalang.

Prof Madya di University of Nottingham Malaysia, Tricia Yeoh menyifatkan ketidaktentuan antara Petronas dan Petros sebagai faktor utama kegusaran pelabur.

“Meskipun wujud persefahaman antara kerajaan persekutuan dan negeri Sarawak, isu pertindihan bidang kuasa serta prosiding undang-undang berterusan seperti kes jaminan bank RM8 juta masih belum diselesaikan,” jelasnya.

Tambah beliau, pelabur memerlukan ketelusan dasar dan kejelasan dalam pembahagian fiskal sebelum komitmen jangka panjang dapat dibuat.

Dalam konteks ini, Sabah muncul dengan kelebihan daya saing tersendiri.

Dengan kelulusan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang lebih pantas dan kadar royalti yang lebih stabil, Malaysia secara keseluruhan, terutamanya Sabah, menjadi lebih menarik berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam.

“Walaupun beban royalti 10% boleh dilihat tinggi bagi medan berskala kecil, struktur PSC Malaysia masih dianggap kompetitif, terutama jika digabungkan dengan proses kelulusan yang lebih telus dan efisien,” ujarnya.

Kerjasama strategik Petronas bersama syarikat-syarikat seperti ConocoPhillips, Eni, TotalEnergies dan Idemitsu juga memainkan peranan penting dalam menambah kredibiliti sektor huluan Malaysia.

Model perkongsian ini bukan sahaja mengurangkan risiko operasi dan geopolitik, tetapi juga membuka peluang pemindahan teknologi dan kepakaran dalam pengurusan karbon serta eksplorasi digital.

“Dalam era ketidaktentuan global, pemilikan bersama dan integrasi teknologi membolehkan Petronas bertindak lebih tangkas, sejajar dengan matlamat peralihan tenaga negara,” katanya.

Dengan hala tuju yang jelas dan kestabilan yang semakin kukuh, Sabah kini berada dalam kedudukan strategik untuk terus menarik pelaburan dalam sektor minyak dan gas, menjadikannya salah satu enjin pertumbuhan utama Malaysia Timur menjelang 2026.



#Sabah #sektor minyak dan gas #pelaburan asing #Sarawak