[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
BISNES

Pelaburan direalisasikan di Kedah bernilai RM20.38 bilion pada 2024 - NCER

Bernama 10/06/2025 | 08:29 MYT
Mohamad Haris berkata momentum positif itu berjaya dikekalkan pada tahun ini di mana sehingga 31 Mei lalu, NCER berjaya merekodkan RM9.11 bilion pelaburan direalisasikan dan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan.
ALOR SETAR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi kerjasama kerajaan negeri Kedah dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merealisasikan pelaburan berjumlah RM20.38 bilion pada 2024 berbanding RM11.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Ketua Eksekutif NCER Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata momentum positif itu berjaya dikekalkan pada tahun ini di mana sehingga 31 Mei lalu, NCER berjaya merekodkan RM9.11 bilion pelaburan direalisasikan dan mewujudkan hampir 2,000 peluang pekerjaan.
"Prestasi baik ini menjadi bukti keyakinan tinggi para pelabur dan pemain industri terhadap potensi masa hadapan yang ditawarkan oleh Kedah dan di wilayah utara amnya.
"NCER akan terus memainkan peranan penting dan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan bagi memastikan proses merealisasikan pelaburan di Kedah terus diperkasa dan memenuhi standard yang dikehendaki oleh para pelabur," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidiladha NCER di sini, hari ini.
Terdahulu, pihak NCER membentangkan prestasi pelaburannya kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Kedah yang diadakan sebelum majlis berkenaan.
Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan mengenai perkembangan terkini projek-projek strategik seperti Bandaraya Getah Kedah (KRC) dan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) serta perancangan untuk meningkatkan sektor pelancongan di Kedah yang merangkumi pelaksanaan projek Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON), peningkatan kemudahan pelancongan Mong Gajah, Tasik Pedu dan pembangunan Dataran Bukit Kayu Hitam.
"Projek iCON ini merupakan kesinambungan kepada program pembangunan keusahawanan NCER iaitu empowerNCER. Jika sebelum ini usahawan diberikan didikan dan bantuan untuk memulakan perniagaan, kini mereka disediakan ruang niaga fizikal untuk memangkinkan pertumbuhan perniagaan masing-masing.
"Ketika ini, projek pembangunan iCON Yan telah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi tidak lama lagi, manakala pembangunan iCON Baling telah mencapai tahap 90 peratus. Permintaan terhadap ruang niaga di kedua-dua lokasi itu amat memberangsangkan kerana nilai sewanya yang sangat rendah berbanding nilai pasaran," katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri berterima kasih dan menyokong penuh usaha NCER dalam membangunkan projek iCON di Kedah dan ia sebagai satu usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dengan memaksimumkan potensi kawasan kurang membangun.
"Saya berharap NCER akan terus memainkan peranannya dalam membantu kerajaan negeri Kedah membangunkan sosioekonomi negeri ini serta yakin masih banyak lagi potensi di Kedah yang boleh diterokai oleh NCER mahupun mana-mana pihak khususnya dalam sektor pelaburan, pelancongan dan pertanian," katanya.
-- BERNAMA
#Wilayah Ekonomi Koridor Utara #NCER #Kerajaan negeri Kedah #MIDA #pelaburan #peluang pekerjaan