IPOH: Perak akan membuka lebih banyak kawasan perindustrian, khususnya di sempadan Selangor dan Pulau Pinang, untuk menarik lebih banyak pelaburan, selepas pandemik COVID-19.

Ia bagi memberi alternatif kepada pelabur selepas kawasan industri kedua-dua negeri itu dikatakan semakin sesak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, paling penting ialah lokasi yang disediakan itu sangat strategik untuk menarik para pelabur.


"Kita berhasrat untuk menawarkan peluang kepada pelabur ataupun industri yang merasakan bahawa di Selangor telah padat, di Penang pun padat.

"Kita juga membuat persiapan untuk menyediakan industrial park di Parit Buntar dan juga di Tanjung Malim kerana ia akan memberi ruang yang lebih besar, menyemarakkan industri untuk datang ke Perak bagi memenuhi kehendak mereka setelah Selangor dan Penang tidak lagi dapat menyediakan tempat," katanya.


Beliau ditemui selepas Majlis pelancaran Taman Bersepadu Ipoh Raya, sebuah projek MRCB Land Sendirian Berhad, di Simpang Pulai, pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi MRCB Land Sendirian Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.


Menurutnya, walaupun berdepan kesuraman akibat pandemik COVID-19, Perak masih mampu merekodkan jumlah pelaburan memberangsangkan sebanyak RM6.6 bilion sepanjang tahun 2021.
 
Katanya, berdasarkan MIDA, nilai pelaburan tersebut melibatkan 137 projek yang merangkumi 43 projek daripada industri pembuatan dan 97 projek daripada industri perkhidmatan terpilih.
 

Beliau berharap kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Perak akan dapat mengekalkan momentum pelaburan itu.


Sementara itu, Mohd Annuar berkata, pembangunan projek bersepadu itu dijangka mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan baharu.


Fasa pertama projek dijangka siap pada 2028 manakala keseluruhan projek dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2043.