KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem e-Invois di Malaysia merekodkan lebih 1.27 bilion urus niaga setakat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata jumlah tersebut melibatkan penyertaan lebih 224,831 pembayar cukai di seluruh negara termasuk dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Advertisement
"Inisiatif e-Invois dijangka berperanan penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan dan transformasi perniagaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival PMKS dan e-Invois, di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan terus mempertingkat pelaburan bagi memastikan sistem sedia ada lebih mesra pengguna dan digunakan oleh semua pihak.
“Saya berharap LHDN dapat melabur lebih banyak untuk menjadikan sistem mereka lebih selesa digunakan oleh semua,” katanya.
Liew berkata LHDN juga perlu terus melabur dalam infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan teknologi mereka sentiasa berada pada tahap terkini.
Beliau berharap supaya sistem e-POS dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya agar semua perniagaan dapat menggunakannya sebagai asas pendigitalan masing-masing.
"Sistem e-POS e-Invois kini boleh diperoleh secara percuma oleh perniagaan yang mempunyai hasil RM5 juta ke bawah," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin menjangkakan kira-kira 130,000 pembayar cukai daripada kategori PMKS terlibat dalam fasa keempat pelaksanaan e-Invois.
Beliau juga berkata Karnival PMKS dan e-Invois turut menjadi platform bagi menyokong pembangunan PMKS, khususnya dalam aspek pendigitalan perniagaan serta meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.
"Kami berharap agar isu dan cabaran perniagaan PMKS termasuk pelaksanaan e-Invois dapat dikenal pasti melalui karnival ini, sekali gus membantu LHDN secara langsung serta membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka pasaran lebih luas," katanya.
-- BERNAMA