[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
BISNES

Pelaksanaan e-Invois tangani ekonomi bayangan, impak masih dinilai - Hui Ying

Bernama 16/12/2025 | 05:00 MYT
Hui Ying berkata pelaksanaan e-Invois bertujuan mengukuhkan pentadbiran yang lebih progresif dan mempercepat pendigitalan sistem percukaian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi menangani ekonomi bayangan sebagai usaha meningkatkan pendapatan negara, antaranya melalui pelaksanaan sistem e-Invois yang bermula pada 2024.


Ringkasan AI
  • Kerajaan melancarkan sistem e-Invois pada 2024 dengan matlamat mempercepat pendigitalan sistem percukaian dan mengurangkan aktiviti ekonomi bayangan.
  • Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa kesan penuh e-Invois masih belum dapat dipastikan kerana sistem ini belum dilancarkan sepenuhnya, sementara pemantauan akan dijalankan bagi menilai keberkesanannya.
  • Kerajaan memberi tumpuan kepada memanfaatkan data sedia ada dan perkongsian maklumat antara agensi untuk meningkatkan keberkesanan dasar berkaitan kos sara hidup, sambil menegaskan bahawa program subsidi akan disasarkan mengikut keseluruhan pendapatan rakyat tanpa tertakluk kepada lokaliti semata-mata.


Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata pelaksanaan e-Invois bertujuan mengukuhkan pentadbiran yang lebih progresif dan mempercepat pendigitalan sistem percukaian, di samping membantu mengekang aktiviti ekonomi bayangan.

"Buat masa ini, kerajaan belum dapat mengenal pasti impaknya kerana e-Invois ini masih belum dilancarkan sepenuhnya dan ia memerlukan masa," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai langkah kerajaan terhadap ekonomi bayangan untuk memastikan pendapatan negara meningkat.

Hui Ying berkata pemantauan berterusan akan terus dibuat untuk menilai keberkesanan inisiatif berkenaan dalam memperluas asas cukai dan meningkatkan hasil negara pada masa depan.

Menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai cadangan menangani kos sara hidup mengikut lokaliti, katanya pada masa ini, kerajaan memberi tumpuan kepada memanfaatkan data sedia ada dan perkongsian maklumat antara agensi untuk mempertingkat keberkesanan dasar berkaitan kos sara hidup.

Beliau berkata sebarang penambahbaikan terhadap rangka kerja pengukuran kos sara hidup akan terus dinilai dari semasa ke semasa.

"Kerajaan mengambil maklum mengenai cadangan yang dikemukakan. Bagaimanapun, program penyasaran subsidi yang telah dilaksanakan mengambil kira keseluruhan pendapatan dan tidak tertakluk kepada lokaliti semata-mata untuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang memerlukan," katanya.

-- BERNAMA



#e-invois #Kerajaan Madani #Lim Hui Ying #ekonomi bayangan