BISNES

Pelan induk dan pelan tindakan pelaburan JS-SEZ dilancar 30 Mac ini di Johor Bahru

Bernama 09/02/2026 | 05:31 MYT
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap sempena Johor Dialogue 2026 di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Pelan induk dan pelan tindakan pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan dilancarkan pada 30 Mac ini di Johor Bahru.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan bersama rakan sejawatnya dari Singapura serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Kami bersetuju pelancaran diadakan di Johor Bahru supaya rakyat Johor dapat merasai sendiri impaknya," katanya ketika berucap pada Dialog Johor 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Onn Hafiz dan Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

Akmal Nasrullah berkata pelan tindakan berkenaan merangkumi insentif, peluang pelaburan serta kerangka operasi JS-SEZ yang bukan sekadar bertujuan menarik pelaburan, sebaliknya meningkatkan produktiviti serta menjana hasil berkualiti tinggi untuk rakyat dan ekonomi negara.

JS-SEZ yang menyasarkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM260 bilion menjelang 2030 dijangka mengubah landskap ekonomi Johor secara menyeluruh, kata beliau.

Katanya, zon ekonomi itu turut menyasarkan peralihan kepada ekonomi berasaskan koridor sungai yang lebih maju dan berteraskan inovasi, selain mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata Malaysia perlu melaksanakan peralihan yang jelas daripada perancangan kepada pelaksanaan sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

"Sehubungan itu, semua kementerian, agensi, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan perlu digerakkan dengan disiplin, kepantasan, komitmen dan akauntabiliti bagi memastikan hasil yang boleh diukur dapat dicapai," katanya.

-- BERNAMA







#pelan induk #JS-SEZ #Akmal Nasrullah Mohd Nasir #pelaburan #onn hafiz ghazi #Johor #Singapura #terkini