BISNES
Peluasan SST ke atas buah-buahan import lonjak industri nanas tempatan

Sheikh Umar Bagharib berkata, peluasan SST terhadap buah import secara tidak langsung menempatkan nanas tempatan pada kedudukan yang lebih kompetitif daripada segi harga dan kualiti. - Gambar hiasan/MARDI
JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yakin semakan serta peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini bakal memberi kesan positif yang ketara terhadap pertumbuhan industri nanas negara.
Ringkasan AI
- Industri nanas dijangka berkembang Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 dijangka memberi kesan positif kepada pertumbuhan industri nanas tempatan seperti peningkatan permintaan, pengeluaran dan pendapatan pekebun.
- Galakkan sektor hiliran dan pelaburan Langkah ini turut merangsang industri hiliran seperti pemprosesan jus, snek dan kosmetik berasaskan nanas serta menarik pelaburan dalam teknologi pertanian dan logistik.
- Tingkat daya saing nanas tempatan Pengenaan cukai terhadap buah import menjadikan nanas tempatan lebih kompetitif dari segi harga dan kualiti serta menyokong matlamat sekuriti makanan negara.
"Inisiatif ini dapat meningkatkan permintaan nanas tempatan seperti MD2 sekali gus memberi peluang kepada pekebun dan pengusaha tempatan untuk memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan pengeluaran mereka.
"Selain itu, permintaan yang lebih tinggi akan memberi impak positif terhadap harga ladang dan pasaran nanas sekali gus meningkatkan pulangan kepada pengusaha kecil, usahawan tani muda dan koperasi pertanian yang bergiat aktif dalam sektor ini, " katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sheikh Umar Bagharib berkata langkah berkenaan antara lain merangsang sektor hiliran seperti pemprosesan jus nanas, produk snek dan kosmetik berasaskan nanas yang bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, bahkan menambah nilai eksport negara.
"Seterusnya, lonjakan permintaan dijangka menarik pelaburan baharu dalam teknologi pertanian pintar, pusat pengumpulan, pembungkusan serta sistem logistik dan pengedaran yang lebih cekap khususnya di kawasan pengeluaran utama seperti Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.
"Hal ini susulan peluasan SST terhadap buah import secara tidak langsung menempatkan nanas tempatan pada kedudukan yang lebih kompetitif daripada segi harga dan kualiti," katanya.
Beliau berkata sokongan kepada keterjaminan makanan negara akan menyumbang kepada matlamat jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dan meningkatkan tahap sara diri dalam sektor buah-buahan.
"Kesan daripada peluasan SST ini tidak akan memberi kesan yang ketara kepada pengusaha buah-buahan import. Keadaan ekonomi negara yang semakin baik juga akan memberi manfaat kepada mereka (pengusaha) buat jangka masa yang lebih panjang, " katanya.
Pada 9 Jun, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami