[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
BUSINESS

Pemain industri semikonduktor dan teknologi tinggi perlu membayangkan semula masa depan Pulau Pinang

Bernama 21/04/2025 | 22:15 MYT
Sim menggesa para peneraju industri untuk mengamalkan apa yang beliau sifatkan sebagai "optimisme strategik" dalam menghadapi cabaran global sambil menggalakkan mereka menukar ketidaktentuan kepada peluang. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pulau Pinang digesa membayangkan semula masa depan industri semikonduktor dan teknologi termaju di negeri itu sewaktu ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau turut menggesa peralihan berani daripada hab pembuatan tradisional kepada ekonomi bernilai tinggi yang dipacu oleh inovasi.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Sumber Manusia menggariskan visi untuk mencapai penjenamaan konvensional "Buatan Pulau Pinang/Malaysia" kepada paradigma baharu "Dibuat oleh Pulau Pinang/Malaysia" yang menekankan inovasi tempatan, pemilikan teknologi dan pembangunan bakat.
Sim menggesa para peneraju industri untuk mengamalkan apa yang beliau sifatkan sebagai "optimisme strategik" dalam menghadapi cabaran global sambil menggalakkan mereka menukar ketidaktentuan kepada peluang.
Dalam pada itu, katanya, langkah ini mempercepatkan peralihan Malaysia kepada sebuah ekonomi yang berdaya tahan dan dipacu oleh inovasi.
"Visi ini memberi tumpuan kepada usaha memupuk bakat tempatan, membangunkan teknologi tempatan dan menarik pelaburan strategik.
"Kami mahu syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang bukan sahaja menyokong rantaian bekalan global, tetapi juga berinovasi, mereka bentuk dan memiliki teknologi yang disokong oleh kepakaran Malaysia," katanya.
Menyedari cabaran yang dihadapi oleh industri, kenyataan itu menyebut kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah yang disasarkan untuk memperkukuh ekonomi negara termasuk penyatuan dalaman, integrasi serantau dan kepelbagaian antarabangsa.
Ucapan Sim dibuat sempena dua sesi dialog industri yang dianjurkan oleh InvestPenang pada hujung minggu lepas.
Sesi tersebut dihadiri oleh Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian serta lebih daripada 30 pihak berkepentingan dalam sektor semikonduktor dan teknologi tinggi termasuk wakil syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Dialog tersebut memberi tumpuan kepada impak perubahan ekonomi global serta penempatan strategik jangka panjang Malaysia dalam rantaian nilai global.
Memandangkan Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, Sim turut mengetengahkan peranan negara dalam menerajui usaha memperkukuh ASEAN sebagai blok ekonomi yang padu.
Beliau turut merujuk kenyataan bersama terkini oleh Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang menegaskan komitmen rantau ini untuk bersama-sama mengharungi ketidaktentuan pasaran global.
Sim berkata walaupun Malaysia terus menjalinkan hubungan dengan rakan dagang tradisional, negara juga sedang meluaskan capaian dengan mempererat hubungan dengan kuasa global yang sedang muncul seperti BRICS, Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), negara anggota CPTPP serta jiran-jiran ASEAN.
"Strategi ini bukan sekadar membina daya tahan perdagangan sebaliknya Malaysia juga boleh memanfaatkan kelebihan strategik bukan-perdagangan yang dimilikinya.
"Kedudukan strategik negara, masyarakat berbilang budaya serta status sebagai kuasa sederhana yang stabil terus menarik pelabur global yang mencari neutraliti dan kepastian," kata Sim.
Seiring dengan pandangan Sim, Liew berkata landskap perdagangan global yang semakin berubah menawarkan peluang kepada Pulau Pinang dan Malaysia untuk melonjak daripada model pembuatan berasaskan pelaburan langsung asing (FDI) serta penyumberan luar kepada ekonomi yang lebih berdikari dan berasaskan inovasi.
Sementara itu, Loo pula berkata syarikat kini sedang menilai semula strategi mereka dalam mendepani ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
"Ada yang sedang meneliti kesan penuh terhadap rantaian bekalan manakala yang lain berasa masih terlalu awal untuk meramalkan implikasi jangka panjang.
"Perniagaan menyambut baik pendekatan bukan konfrontasi kerajaan Malaysia serta rancangan untuk terus terlibat secara aktif di peringkat antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#Steven Sim #semikonduktor #pulau pinang #ekonomi bernilai tinggi