BUSINESS
Pembangunan subwilayah jadikan ekonomi Asia Tenggara lebih berdikari - Amir Hamzah
Amir Hamzah berkata cabaran global yang dihadapi hari ini seperti tarif AS, menyerlahkan kepentingan ASEAN untuk berinteraksi dan bekerjasama antara rantau dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pembangunan Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP) dan Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (EAGA) dilihat bukan sahaja memberi manfaat kepada Sabah dan Sarawak tetapi turut menyumbang ke arah memperkukuh ekonomi Asia Tenggara, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pembangunan di wilayah itu akan menawarkan peluang ekonomi yang besar dalam memupuk pertumbuhan intra-perdagangan dan mengurangkan pergantungan rantau ini kepada pasaran luar di tengah-tengah cabaran semasa susulan pelaksanaan tarif Amerika Syarikat ke atas negara anggota.
Terdapat banyak inisiatif rentas sempadan termasuk kebergantungan bersama dan kerjasama yang boleh dipupuk dalam subwilayah ekonomi dan ini menyumbang untuk Asia Tenggara lebih berdikari dari segi ekonomi.
"Saya berharap kita akan melihat dan meneroka kawasan itu (kerana) jika (kita) lebih berdaya tahan, lebih banyak intra-perdagangan yang boleh kita bina, lebih kurang pergantungan kita dengan pihak luar," katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui selepas melawat Pameran Rumah Terbuka Malaysia ASEAN 2025 sempena Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat (AFM) ke-12 serta mesyuarat berkaitan Gabenor Bank Pusat (AFM) di sini semalam.
Amir Hamzah mengulas soalan bagaimana Sabah dan Sarawak melalui penglibatan mereka dalam inisiatif BIMP-EAGA dapat menyumbang dan melengkapkan matlamat integrasi serantau ASEAN.
Mengulas lanjut, beliau berkata cabaran global yang dihadapi hari ini seperti tarif AS, menyerlahkan kepentingan ASEAN untuk berinteraksi dan bekerjasama antara rantau dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi.
"Jika anda melihat inisiatif yang cuba dilakukan oleh ASEAN, yang paling penting ialah menyatukan pelbagai kumpulan.
"Apabila kita mempunyai interaksi (dan) membina kerjasama dan perniagaan yang berinteraksi antara satu sama lain, maka, peluang-peluang ini boleh menjadi realiti. Jika kita tidak mempunyai interaksi, tiada apa yang akan berlaku," katanya.
Beliau berkata konsep untuk membawa seluruh pemimpin ASEAN bersama-sama menganjurkan pameran dan mendorong persidangan iklim pelaburan, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan secara aktif mewujudkan interaksi perdagangan dan pelaburan.
"Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah dengan memudahkan cara melalui dasar, memberi galakkan dan penambahbaikan yang lebih baik dari segi dasar dan peraturan. Mudah-mudahan, atas dasar intra-ASEAN yang holistik, kita akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi serantau," katanya.
-- BERNAMA