KUALA LUMPUR: Biarpun ruang fiskal Kerajaan agak terhad dalam melaksanakan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa) PLUS, pemerhati ekonomi merasakan perkara itu tidak perlu digusarkan dalam tempoh mendesak seperti ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, berdasarkan kajian empirikal, ruang fiskal masih boleh dilebarkan dengan cara penerbitan sekuriti atau bon sukuk.

Tambahnya lagi, berdasarkan rekod, Kerajaan tidak akan mempunyai masalah untuk membayar hutang sendiri sekiranya ia dikekalkan dalam nilai Ringgit.

"Setiap kali kerajaan terbitkan hutang melalui sekuriti Kerajaan Malaysia atau sukuk, setiap kali kita lihat ia dilanggan, pemilikan asing di dalam sekuriti kerajaan sangat tinggi iaitu sekitar 40%.

“Itu menunjukkan keyakinan pelabur asing dalam membeli hutang…jadi ruang (fiskal) ada. Cuma isunya bantuan perlu diberi, bagaimana disalurkan dalam keadaan segera kepada masyarakat di luar bandar misalnya. Itu saya rasa isu utama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Afzanizam berkata, pemberian moratorium perlu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.

"Kalau kita nak bagi moratorium secara automatik, itu merupakan permbaziran. Kerana setiap hutang kalau boleh nak diselesaikan dalam suasana mengikut jadual.

“Kalau kita tangguhkan, terutamanya bagi yang tak perlukan (moratorium)… itu merupakan satu pembaziran. Penangguhan bagi kepada yang mereka yang betul-betul memerlukannya. Dan itu akan beri mereka ruang gunakan sumber yang ada untuk perkara lebih produktif,” katanya lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan program Pemerkasa PLUS pada Isnin , mengakui ruang fiskal kerajaan amat terhad untuk berbelanja.

Namun, beliau berkata, inisiatif seperti itu masih perlu diteruskan bagi mewujudkan keseimbangan antara keperluan melindungi nyawa, serta menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).