Meskipun pasaran hartanah berada dalam aliran yang berkembang selain demografi, pemikiran lama masih jelas, yang mana 92 peratus rakyat Malaysia lebih gemar untuk memiliki sendiri rumah daripada menyewa, sekiranya mereka mampu, demikian menurut kajian sentimen pengguna terbaharu, PropertyGuru Malaysia.

Pengurus Negara, Sheldon Fernandez, berkata sebanyak 33 peratus responden menduduki kediaman yang disewa manakala baki 67 peratus, tinggal di "rumah sendiri", yang ditakrifkan sebagai dimiliki oleh mereka yang tinggal di situ, rumah keluarga, tinggal bersama adik beradik atau saudara mara dan kediaman bukan sewa lain.

"Walaupun kos sara hidup meningkat, kadar penolakan pinjaman yang tinggi dan harga yang tidak dimampui, ramai rakyat Malaysia, termasuk glongan muda masih menjadikan pemilikan rumah sebagai aspirasi utama gaya hidup.

"Keinginan (untuk memiliki rumah) adalah sangat tinggi dan ini mungkin disebabkan oleh tekanan daripada keluarga dan juga rakan-rakan, juga menjadi kelaziman serta pandangan tradisional bahawa memiliki rumah sendiri adalah asas kukuh untuk masa depan seseorang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian itu turut mendedahkan bahawa, dalam kalangan mereka yang pada masa ini menyewa, menjadi harapan mereka untuk membeli rumah sendiri.

Bagi mereka yang memilih untuk menyewa, majoriti (71 peratus) berkata, lokasi yang berhampiran dengan tempat kerja adalah kriteria paling penting, diikuti dengan masing-masing, pertimbangan keluarga (55 peratus) dan akses kepada pengangkutan awam (52 peratus).

Kediaman bertingkat adalah pilihan disukai mereka yang menyewa dengan kondominium dan pangsapuri perkhidmatan menduduki tangga teratas.

Data kajian itu menunjukkan, mereka yang menyewa menjelaskan bahawa bajet yang realistik untuk sewa bilik adalah antara RM501-RM800 manakala untuk rumah, mereka mengatakan kadar yang ideal adalah RM801-RM1,100 sebulan.

Bagaimanapun, ini sudah tentu berbeza mengikut lokasi, jenis hartanah, saiz unit dan faktor lain.

-- BERNAMA