Skip to main content

Bisnes

Pemindahan saham DNB dijangka selesai akhir suku ketiga 2026 - CIMB Securities

41636818119_DigitalNasional.jpg
Menurut firma broker saham itu, ia mengambil kira implikasi tempoh tiga bulan berbanding andaian enam bulan sebelum ini terhadap CelcomDigi Bhd daripada perakaunan ekuiti bagi kerugian bersih DNB dalam Tahun Kewangan 2026 (Unjuran).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemindahan saham Digital Nasional Bhd (DNB) dijangka selesai menjelang akhir suku ketiga 2026 atau pada peringkat awal suku keempat 2026, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Menurut firma broker saham itu, ia mengambil kira implikasi tempoh tiga bulan berbanding andaian enam bulan sebelum ini terhadap CelcomDigi Bhd daripada perakaunan ekuiti bagi kerugian bersih DNB dalam Tahun Kewangan 2026 (Unjuran).

"Di peringkat DNB, kami terus mengandaikan kerugian bersih sebanyak RM700 juta, RM500 juta dan RM300 juta, masing-masing bagi tahun kewangan 2026 hingga tahun kewangan 2028.

"Sehubungan itu, kami telah menaikkan unjuran keuntungan bersih teras (KBT) CelcomDigi bagi tahun kewangan 2026 sebanyak tiga peratus, manakala unjuran kami bagi tahun kewangan 2027–tahun kewangan 2028 sebahagian besarnya tidak berubah," menurut CIMB Securities satu nota penyelidikan hari ini.

CIMB Securities juga mengunjurkan keuntungan bersih teras CelcomDigi berkembang pada kadar sihat 8.0 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2026, didorong oleh pertumbuhan hasil perkhidmatan sebanyak tiga peratus dan peningkatan margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) (+0.8 mata peratusan).

Bagi tahun kewangan 2027 (Unjuran), firma broker saham itu mengunjurkan keuntungan bersih teras CelcomDigi berkembang tiga peratus tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan hasil perkhidmatan yang mampan sebanyak tiga peratus tahun ke tahun.

Ia turut mengunjurkan peningkatan sinergi penggabungan apabila lebih banyak pajakan menara tamat tempoh di tapak yang dinyahaktifkan, serta kos integrasi lebih rendah susulan penyelesaian konsolidasi sistem teknologi maklumat (IT) menjelang akhir tahun kewangan 2026 atau awal tahun kewangan 2027 untuk lebih daripada mengimbangi kesan setahun perakaunan ekuiti kerugian bersih DNB.

"Tidak termasuk bahagian kerugian DNB, kami menjangkakan keuntungan bersih teras CelcomDigi berkembang sebanyak 9.0 peratus tahun ke tahun.

"Susulan penyelesaian konsolidasi sistem IT dan dengan perbelanjaan modal (capex) 5G ditanggung oleh DNB, kami mengunjurkan capex CelcomDigi merosot sebanyak 22 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2027," katanya.

Pada tahun kewangan 2028, CIMB Securities mengunjurkan keuntungan bersih teras CelcomDigi berkembang lebih kukuh pada 12 peratus tahun ke tahun dipacu oleh sinergi kos penggabungan (terutamanya daripada tamat tempoh pajakan menara), dan penurunan dalam bahagian kerugian bersih DNB, manakala capex diunjur terus merosot sebanyak 21 peratus tahun ke tahun berikutan pelaburan 4G yang semakin berkurangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement