BISNES
Penangguhan sistem e-Invois beri masa peniaga sesuaikan diri - Lim

Lim berkata dengan penangguhan itu kerajaan berharap syarikat mempunyai masa menyesuaikan diri dengan sistem e-Invois yang disediakan oleh LHDN itu. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Penangguhan pelaksanaan sistem e-Invois dibuat selepas kerajaan mendengar keluhan peniaga khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Ringkasan AI
- Penangguhan untuk memberi masa kepada PMKS: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan sistem e-Invois selepas mendengar keluhan peniaga.
- Pelaksanaan secara berfasa: Pembayar cukai dengan pendapatan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan buat masa ini.
- Kontrak penggajian wajib disetem mulai 2026: Kerajaan menetapkan bahawa semua kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang bermula pada 1 Januari 2026 perlu membayar duti setem.
"Sebenarnya yang kita rancang (pelaksanaan sistem e-Invois) bermula 1 Julai depan adalah untuk syarikat yang mempunyai jualan tahunan RM500,000 ke atas, namun kita memang memahami kebimbangan mereka terutama PMKS dan mengubah ia kepada tiga fasa lagi.
"Kerajaan MADANI prihatin terhadap keluhan peniaga kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Tandas Pintar di Pasar Awam Lebuh Cecil, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lim berkata fasa ketiga pelaksanaan sistem e-Invois yang akan bermula 1 Julai ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM5 juta hingga RM25 juta.
Mengenai kontrak penggajian antara majikan dan pekerja yang wajib disetemkan mulai 1 Jan, 2026, beliau berkata LHDN tidak membuat penguatkuasaan mengenai perkara tersebut sebelum ini.
"Jadi LHDN dengan Kementerian Kewangan telah membuat pertimbangan dan mengambil keputusan iaitu sebarang kontrak penggajian antara majikan dan pekerja sebelum 1 Januari 2025 dikecualikan, tetapi apa-apa kontrak penggajian yang bermula pada 1 Januari 2026 diwajibkan untuk membayar duti setem," katanya.
Beliau juga berharap agar syarikat dapat mematuhi semua ciri-ciri yang ditetapkan dalam Akta Setem 1949 khususnya pematuhan terhadap keperluan penyeteman.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami