BISNES

Penerbangan terus Jiangxi Air dari Nanchang ke KL pacu pelancongan dan perdagangan - MAHB

Bernama 25/08/2025 | 13:40 MYT
Jiangxi Air secara rasmi melancarkan laluan antarabangsa pertamanya di Asia Tenggara iaitu laluan Nanchang-Kuala Lumpur hari ini. - Gambar fail/Wikipedia
SEPANG: Kemunculan Jiangxi Airlines Co Ltd (Jiangxi Air) di Malaysia melalui laluan terus baharu Nanchang-Kuala Lumpur merupakan langkah strategik ke hadapan dalam mengukuhkan hubungan udara di antara Malaysia dengan China.

Jiangxi Air secara rasmi melancarkan laluan antarabangsa pertamanya di Asia Tenggara iaitu laluan Nanchang-Kuala Lumpur hari ini.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani berkata, perkhidmatan dua kali seminggu ini bukan sahaja memperluas ketersambungan rangkaian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi juga membuka akses ke satu daripada bandar paling pesat berkembang di China.

Katanya, ini sekali gus menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama di Asia Tenggara.

"Perkhidmatan terus ke pasaran China yang sedang berkembang amat bernilai. Ia memacu pertumbuhan penumpang, membuka peluang pelaburan dan perdagangan serta mengeratkan hubungan ekonomi yang lama terjalin di antara Malaysia dengan China.

"Dengan Jiangxi Air, kita mengambil satu lagi langkah ke arah meluaskan jangkauan itu dan menjadikan perjalanan antara kedua-dua negara lebih lancar," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penerbangan sulung syarikat penerbangan itu di KLIA Terminal 1 di sini, hari ini.

Jiangxi Air mengadakan majlis penerbangan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei dan KLIA pada hari yang sama.

Laluan ini beroperasi setiap Isnin dan Sabtu.

Penerbangan keluar, bernombor RY6607 berlepas dari Nanchang pada 10 pagi dan tiba di Kuala Lumpur pada 3 petang manakala penerbangan pulang, RY6608 berlepas dari Kuala Lumpur pada 4 petang dan tiba di Nanchang pada 8.50 malam.

Penerbangan sulung dari Nanchang tiba pada petang ini dan disambut dengan tembakan air istiadat sebelum para penumpang disambut di pintu ketibaan dengan cenderahati bertemakan Malaysia.

Wakil daripada Kedutaan China ke Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pengangkutan serta MAHB turut hadiri pada acara tersebut.

Sementara itu, Mohd Izani berkata, ketika Malaysia bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, keterhubungan udara akan memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai pelancong selain memastikan tanggapan pertama serta terakhir setiap penumpang terhadap Malaysia mencerminkan kemesraan, layanan dan identiti negara.

Sementara itu Pengurus Besar Jiangxi Airlines, Kang Zhiyang yang turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan berkata, pelancaran ini merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk menyokong Inisiatif Jalur dan Laluan serta mempromosikan tawaran pelancongan yang kaya di Jiangxi.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu berhasrat untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, memperkenalkan produk pelancongan yang disesuaikan dan mengukuhkan keterhubungan bagi menggalakkan pertukaran serta kerjasama yang lebih erat di antara China dengan Malaysia.

Secara berasingan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Chua Choon Hwa berkata, dari Januari hingga Jun 2025, Malaysia menerima 2.17 juta pelawat dari China.

Katanya, ini mencerminkan peningkatan memberangsangkan sebanyak 35.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

"Peningkatan ini jelas menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap Malaysia dalam kalangan pelancong China selain menonjolkan ketepatan masa kemasukan Jiangxi Air ke Malaysia," tambahnya.

Ditubuhkan pada 2015, Jiangxi Air kini mengendalikan 18 pesawat yang beroperasi di lebih daripada 80 bandar di China.

-- BERNAMA



#penerbangan terus #Jiangxi Airlines #Nanchang ke Kuala Lumpur #hubungan udara Malaysia China