Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Pengecualian cukai perkhidmatan sewa kapal, pesawat udara tidak dilakukan secara senyap

Bernama 16/08/2025 | 11:25 MYT
MOF berkata, pengenaan cukai boleh mendorong pemilik kapal/pesawat tempatan untuk berdaftar di luar negara sekali gus mengurangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengecualian Cukai Perkhidmatan ke atas penyewaan kapal dan pesawat udara tidak dibuat secara senyap-senyap selain bertujuan mengekalkan daya saing industri tempatan, kata Kementerian Kewangan (MOF).


Ringkasan AI
  • Kementerian Kewangan menegaskan pengecualian Cukai Perkhidmatan ke atas penyewaan kapal dan pesawat udara tidak dibuat secara senyap, sebaliknya dimaklumkan secara rasmi pada 24 Julai 2025.
  • Pengecualian bertujuan mengelakkan pemilik tempatan mendaftar kapal atau pesawat di luar negara, yang boleh menjejaskan aktiviti ekonomi dan pelancongan dalam negara.
  • MOF menjelaskan negara jiran turut tidak mengenakan cukai serupa, dan tanpa pengecualian, pelanggan mungkin beralih kepada perkhidmatan luar negara.


MOF berkata, pengenaan cukai boleh mendorong pemilik kapal/pesawat tempatan untuk berdaftar di luar negara sekali gus mengurangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia.

"Pengecualian ini diberikan kerana dua sebab utama iaitu bagi mengelakkan pendaftaran kapal dan pesawat udara di luar negara serta pengenaan cukai boleh mendorong pemilik kapal/pesawat tempatan untuk berdaftar di luar negara.

"Ini sekali gus mengurangkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di Malaysia," ujar kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, MOF juga berkata negara jiran turut tidak mengenakan cukai yang serupa.

"Tanpa pengecualian, pelanggan mungkin beralih kepada perkapalan atau penerbangan luar negara," katanya lagi.

MOF turut menegaskan pengecualian Cukai Perkhidmatan ke atas penyewaan kapal dan pesawat udara tidak dibuat secara senyap-senyap dan pemakluman rasmi dibuat pada 24 Julai, 2025.

Pemakluman rasmi dibuat melalui Dasar Cukai Perkhidmatan Bil. 2/2025 (Pindaan No. 1) yang dimuat naik di portal MySST Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

-- BERNAMA


#MOF #pengecualian cukai #sewa kapal #sewa pesawat