KUALA LUMPUR: Pengekalan penarafan oleh agensi antarabangsa Fitch Rating terhadap Malaysia mencerminkan keyakinan terhadap polisi dan prospek negara, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul menjelaskan, pengekalan penarafan IDR matawang asing jangka panjang Malaysia pada ‘BBB+’ dengan unjuran stabil itu diberikan ketika dunia berhadapan dengan tindakan semakan semula penarafan luar jangkaan, di mana 101 prospek negatif telah diberikan menjelang akhir tahun 2020.

"Pengekalan penarafan bagi Malaysia membuktikan daya tahan ekonomi negara dalam persekitaran yang tidak menentu, prospek dan asas pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh serta lebihan akaun semasa yang stabil disokong oleh kepelbagaian pasaran dan produk eksport.

"Malaysia secara konsisten mencatatkan lebihan akaun semasa sepanjang dua dekad dengan lebihan akaun semasa terbesar dicatatkan pada tahun 2020 berjumlah RM184.8 bilion, bersamaan 4.2% KDNK.

"Kedudukan ini turut disokong oleh rizab antarabangsa yang mencukupi, aset luaran bank dan korporat yang besar, serta kedudukan luaran mata wang asing bersih berjumlah RM1.1 trilion atau 77.0% daripada KDNK pada akhir Mac 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau menjelaskan, pengekalan Malaysia dalam index FTSE Russell’s World Government Bond Index pula merupakan satu testimoni ke atas pasaran modal yang maju serta asas makro ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.

BACA: Fitch Ratings kekalkan penarafan jangka panjang Malaysia, unjuran stabil

Tengku Zafrul juga menjelaskan, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu strategi dinamik, fleksibel dan berpandangan ke hadapan berpandukan data dan sains dalam menangani krisis pandemik COVID-19.

"Berlandaskan pendekatan secara menyeluruh bagi negara, Kerajaan akan bekerjasama dengan pakar industri, NGO, pemimpin komuniti dan masyarakat umum dalam melaksanakan PPN.

"Pendekatan PPN yang sistematik akan mengimbangi keperluan untuk melindungi nyawa dan menjaga kelangsungan mata pencarian," katanya lagi.

Beliau juga menjelaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang merupakan antara yang terpantas turut mendorong pemulihan ekonomi negara.

Tengku Zafrul menjelaskan, melangkah ke hadapan, Malaysia akan memberi tumpuan kepada digitalisasi dan penggunaan teknologi serta menambah baik prospek dan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang.

"Di samping itu, dalam jangka sederhana, Kerajaan berpegang teguh untuk melaksanakan pembaharuan struktur secara berterusan yang akan membolehkan Malaysia menarik pelaburan berkualiti tinggi serta dapat menjana pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi," katanya lagi.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah melindungi kehidupan daripada ancaman COVID-19 selain memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam jangka sederhana dan panjang.

Katanya, Kerajaan akan terus melaksanakan respon secara strategik, proaktif dan berkesan dalam suasana COVID-19 di samping meminimumkan kesan ekonomi yang berkekalan akibat pandemik.